Amerika lulus mekanisme pemantauan antirasuah di Peru

Amerika lulus mekanisme pemantauan antirasuah di Peru

Wakil negara-negara Hemisfera Barat telah meluluskan  – di Lima – satu mekanisme pemantauan antirasuah  bagi melaksanakan kaedah-kaedah yang telah dipersetujui ketua-ketua negara dan kerajaan pada sidang kemuncak terakhir Amerika, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Peru, Hugo de Zela.

Ia adalah satu platform akses awam maya, yang disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Peru, untuk memantau kemajuan yang dicapai oleh Negara-Negara dalam mematuhi 57 perkara terkandung dalam Komitmen Lima dikenali sebagai “Tadbir Urus Demokratik terhadap Rasuah.”

Dokumen ini termasuk kaedah-kaedah konkrit mengenai akses kepada maklumat, pembiayaan parti-parti politik, ketelusan dalam kerja-kerja awam, pemulihan aset serta kaedah-kaedah terhadap rasuah domestik dan antarabangsa.

“Hari ini kami meluluskan penggunaan satu platform maya, jadi semua warganegara di Amerika boleh mengesahkan pelaksanaan semua komitmen terbabit dan tahap pematuhannya di setiap negara,” katanya kepada media.

Mekanisme Pemantauan dan Pelaksanaan itu akan dijalankan pada Januari tahun depan dan akan mengandungi satu rekod kemajuan yang dicapai oleh setiap negara.

Pilihan akses awam maya boleh didapati mulai Mei 2019.

Selain itu, mekanisme tersebut akan mengandungi satu pangkalan data amalan terbaik dan keupayaan teknikal dari segi pencegahan serta peperangan terhadap rasuah.

— BERNAMA