Malaysia Dateline

Amerika yang gila

Suka atau tidak dalam 20 tahun kebelakangan ini situasi dunia semakin meruncing, semakin tidak stabil dan semakin menakutkan.

Warga dunia iaitu kebanyakan rakyat biasa golongan kelas menengah dan miskin semakin ditindas, ditekan dan diperas ugut dengan pelbagai alasan mengatasI pengganas, ekstrimis dan yang terkini pandemik Covid-19.

Apa yang terjadi 20 tahun yang lalu?

Hanya satu peristiwa yang paling signifikan iaitu serangan yang entah dari siapa dan apa motifnya ke bumi Amerika Syarikat, iaitu terdapat beberapa pesawat komersil melanggar beberapa bangunan penting di ibu negara Amerika Syarikat.

Sesuai dengan jiwa cowboy wild wild west negara Uncle Sam itu, Presiden Bush dengan sokongan NATO mengisytiharkan perang melawan pengganas.

Dua orang pengganas yang ingin ditangkap iaitu seorang entah siapa asal usulnya Osama bin Laden, dan seorang lagi bekas sekutu Amerika sendiri Saddam Hussein yang menjadi anjing belaan Amerika memerangi Iran selama 10 tahun dengan senjata-senjata kimia yang memberi kesan sehingga sekarang.

Ironinya sebelum pun ratusan ribu askar Amerika, British, Australia, Pakistan dan sekutu-sekutu yang lain dikerahkan menuju ke Afghanistan dan Iraq, Presiden Bush mempengerusikan satu mesyuarat pertama pasca ‘serangan’ 11 september 2001 iaitu dengan penerbit-penerbit filem berpengaruh di Hollywood.

Di dalam mesyuarat itu Bush dilaporkan memberi jaminan akses kepada aset-aset ketenteraan dan juga fasiliti kepada penerbit-penerbit filem untuk menghasilkan filem-filem yang lebih realistik.

Setelah itu, Bush mengadakan pertemuan dengan para kontraktor pembuat dan pembekal senjata kerana sebagai algojo, Bush memerlukan senjata canggih untuk hanya menangkap dua anjing ciptaannya iaitu Osama dan Saddam.

Sungguh hebat dua orang ini sehinggakan Amerika dan sekutunya bersiap siaga seperti menghadapi perang Dunia ketiga.

Menulis kronologi sejarah adalah amat menghiburkan, kerana sejarah telah merakamkan pada 2009 bahawa Hillary Clinton yang berada di dalam pentadbiran Obama, mengakui dalam testimoninya di hadapan Kongress terkait isu kegagalan Amerika di Afghanistan memburu Osama selama hampir 10 tahun.

Hillary dipetik berkata;

“Sebenarnya kini kita berperang dengan kumpulan yang kita ciptakan sendiri 20 tahun yang lalu. Kita bersetuju melatih mujahidin Afghanistan melawan kuasa Soviet dengan bantuan Arab Saudi dalam mempertengah konsep ajaran Islam Wahabi”.

Amerika sejak 2001 telah mencipta pelbagai nama-nama kumpulan atas nama Islam seperti Alqaeda, ISIL, ISIS dan Daesh.

Wikileaks pada 2009 juga telah mendedahkan bahawa hubungan antara pentadbiran Obama dan Arab Saudi adalah bagi tujuan mendanai kumpulan-kumpulan ciptaan di atas.

Maka, hanya demi konon-kononnya ingin menangkap Osama dan Saddam, Amerika telah mula menjajah dengan kejam menghancurkan negara Afghanistan dan Iraq.

Sejak 2001 seramai kurang lebih 300,000 rakyat terbunuh akibat perang, 230,000 askar Amerika dan sekutunya terkorban. Hanya kerana untuk menangkap Osama dan Saddam.

Sejarah kegagalan Negara Uncle Sam ini bukan sahaja bermula di Iraq. Jangan kita terpedaya dengan filem-filem seperti Rambo dan sebagainya yang cuba menutup malu negara yang kononnya hebat yang telah kalah sejak perang dunia kedua lagi apabila dengan bacul menggunakan peluru nuklear ke atas Jepun (1945), Cuba (1962) Vietnam (1975), dan Iran (1979).

Dan yang terkini dan paling sensasi adalah perang selama 20 tahun di Afghanistan dan Iraq di mana Amerika telah pun dikalahkan.

Sudah semestinya mana-mana peperangan akan mengakibatkan bencana kerosakan yang teruk, tetapi tidak kepada para kontraktor senjata dan ahli politik Amerika dan sekutunya.

Newsweek melaporkan ada 14 september 2021, usahawan-usahawan senjata dan proksi-proksi mereka mendapat laba hampir separuh dari USD14 trillion yang dibelanjakan selama 20 tahun.

Sebaliknya rakyat Afghanistan dan Iraq hilang ahli keluarga, tempat tinggal dan tanah air.

Pakistan dan Iran adalah antara negara yang menerima pelarian yang berjuta jumlahnya. Di Iran sendiri kerajaannya setakat 2020 menerima hampir 3 juta pelarian perang Afghanistan dan Iraq,

kesemua merela diberi kemudahan tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan malah pekerjaan. Ini semua akibat kerasukan Perikatan Amerika Syarikat yang telah menipu dengan alasan ingin membangun dan memartabatkan demokrasi di Afghanistan dan Iraq.

Tidak cukup dengan itu, kegilaan Amerika seperti budak yang asyik dengan permainannya merebak ke negara-negara yang lain dengan satu jenama baharu iaitu Kebangkitan Rakyat Arab (Arab Spring).

Habis jahanam negara-negara seperti Libya, Syria, Lubnan, dan paling kasihan negara Arab paling miskin iaitu Yaman. Padahal kesemua negara ini kesalahan mereka adalah satu sahaja, tidak mengiktiraf negara haram Israhell.

Habis hancur negara-negara ini diporak-perandakan oleh kuasa besar yang kononnya jaguh demokrasi dan kemanusiaan.

Kempen keamanan versi Amerika ini telah jelas menunjukkan bahawa keamanan sesebuah negara itu adalah bergantung kepada pengiktirafan terhadap negara haram Israhell.

Mana-mana negara yang tidak setuju atau tidak menyokong gagasan ini adalah dianggap ancaman seterusnya akan diperangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya.

Amerika akan terus menggila, Imran Khan Perdana Menteri Pakistan dalam satu temubual mengatakan sebenarnya Pakistan telah letih melayan kegilaan kempen Amerika ini. 70000 askar Pakistan telah terkorban dan berbilion USD telah rugi.

Kegilaan Amerika ini membuatkan negara-negara seperti Pakistan dan Turki mulai menimbang-nimbang rasional bersama-sama kebangkitan kuasa baharu dunia iaitu Russia, China dan Iran.

Pakatan ini nampaknya amat realistik dari segi membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian. Tiga negara ini masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri bagi mengekang kegilaan Amerika Syarikat yang sebenarnya telah terlihat lemah dan gagal dari pelbagai perspektif.

Sedang media propaganda pro Amerika tidak henti-henti memain-mainkan isu betapa bahayanya taliban sejak 20 tahun yang sudah, kini mereka tidak lagi boleh menutup kain ke atas bangkai yang ditinggalkan oleh Amerika, dan tidak boleh lagi berdolak-dalik bahawasanya Amerika telah sekali lagi kalah dalam perang.

Amerika kini bergelut dengan rakyatnya sendiri, negaranya sendiri tidak stabil dan aman

Kerana itulah telah banyak laporan mengatakan berbulan-bulan pegawai kerajaan dan askar-askar Afghanistan yang dibiyai oleh Amerika tidak dibayar gaji.

Malah askar-askar Amerika dan sekutunya di sana pun mengeluh kerana sudah lama tidak mendapat arahan jelas tentang misi di Afghanistan.

Ini mengakibatkan semenjak 3 tahun lepas terdapat peningkatan kes rogol yang melibatkan askar-askar biadap penjajah ini.

Juga yang lebih memilukan peningkatan kes serangan menggunakan drone ke rumah-rumah yang kononnya dihuni oleh pengganas tetapi yang mati adalah wanita dan anak-anak.

Kegilaan Amerika ini nampaknya telah mula melarat ke rantau Asia Tenggara, ya di negara kita! Entah apa gilanya Amerika, UK dan Australia mencapai kesepakatan yang dipanggil AUKUS untuk menghalalkan Australia mempunyai keupayaan kapal selam yang dilengkapi dengan senjata nuklear.

Sememangnya perairan laut Cina Selatan yang dimiliki juga oleh Malaysia terdapat beberapa krisis yang sekian lama dapat diredakan dengan pelbagai diplomasi dan persefahaman di antara negara-negara Asean dan China.

Tetapi AUKUS ini dengan jelas menunjukkan sikap gengster Amerika yang kerjanya tidak habis-habis mengacau kedaulatan negara-negara lain atas alasan mengekalkan keamanan.

Sekarang negara China tidak lagi merasa aman dengan AUKUS yang amat provokatif ini, menjadikan situasi di rantau Asia Tenggara tidak lagi seperti dahulu.

AUKUS ini seolah-olah memaksa negara-negara ASEAN untuk memihak sama ada bersama Amerika ataupun China.

Sengaja saya mulakan artikel ini dengan berkongsi sejarah dan fakta bagaimana Amerika telah menghancurkan Afghanistan, Iraq dan timur tengah agar kita rakyat biasa siap siaga dan cakna akan tindak tanduk negara gagal Amerika yang peperangan bagi mereka adalah sebuah perniagaan yang amat menguntungkan.

Isu AUKUS ini perlu dibincangkan dengan serius dan teliti di Parlimen dan juga di meja besar ASEAN agar kegilaan Amerika dan sekutunya-sekutunya ini dapat dibendung sebelum terlambat.

————–

Penulis merupakan penulis politik, seni dan budaya.