Malaysia Dateline

Aminolhuda hargai peluang terbaik beri khidmat kepada rakyat Johor

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pengarah dan kakitangan kerajaan yang selama ini setia menjalankan tugas bersamanya.

Aminolhuda meluahkan, sepanjang setahun lapan bulan menjalankan tugas sebagai Exco kerajaan negeri, ia merupakan peluang bermakna baginya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Pengerusi AMANAH negeri itu turut mengenang beberapa kejayaan yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu sepanjang diamanahkan memegang portfolio tersebut.

“Selain itu, antara janji-janji PH yang telah disempurnakan di bawah portfolio saya adalah Insentif Harapan Siswa dan Kursus Perkahwinan Percuma.

“Manakala penubuhan Universiti Johor pula sedang dalam proses kajian akhir untuk direalisasikan sebagai sebuah universiti milik rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan pengorbanan yang diberikan semua pihak bagi menjayakan semua program terbabit.

Pada 27 Februari, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar menitahkan bahawa kerajaan PH secara rasminya tumbang.

Menurut satu kenyataan rasmi dari istana, baginda berpuas hati dengan hasil soal jawab di antara Baginda dengan semua Adun Johor (dua tidak hadir) yang jelas menunjukkan sokongan kepada gabungan baharu dengan kelebihan dua undi.

Kemudian pada 28 Februari, Adun Benut, Datuk Hasni Mohammad sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor.

Hasni, 61,adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johir merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Johor.