Malaysia Dateline

Aminolhuda kekal Pengerusi Amanah Johor

 Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada pemilihan parti itu semasa di Konvensyen AMANAH Negeri Johor 2019 di Savanna Hotel Resort, Ulu Tiram Johor.Sebanyak 204 kertas undi dikeluarkan kepada perwakilan dan Aminolhuda mendapat undian tertinggi sebanyak 154 undi dari perwakilan yang layak memilih.

Kerusi yang disandang beliau itu dapat dipertahankan selepas mesyuarat seramai 17 jawatankuasa yang dilantik bersama ketua sayap telah memberikan mandat sekali lagi kepada beliau untuk menerajui parti berasas Islam Progresif itu di Johor.

Beliau yang juga merupakan Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi itu diumumkan sebagai pengerusi untuk sesi penggal seterusnya sekitar jam 3:00 petang pada 26 Oktober 2019 yang lalu.

Dalam pada itu, untuk jawatan timbalan juga tidak berlaku perubahan apabila, Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Sr Dzulkefly Ahmad turut berjaya mengekalkan jawatan tersebut.

Beliau telah mendapat undian sebanyak 147 undi oleh perwakilan telah diberikan mandat untuk sekali lagi memikul jawatan sebagai Timbalan Pengerusi AMANAH Johor buat sesi seterusnya.

Manakala terdapat perubahan dalam jawatan Naib Pengerusi 1 yang sebelum ini disandang oleh Datuk Mazlan Aliman telah diganti oleh Speaker Dewan Negeri (Dun) Johor, Suhaizan Kaiat.

Manakala muka baharu yang diberikan mandat untuk memegang jawatan Naib Pengerusi 2 adalah Hamid Jamah yang sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa AMANAH Johor.

Antara nama lain yang dipilih sebagai ahli jawatankuasa AMANAH Johor adalah, Azam Razak, Dr. Sulaiman Mohd Nor, Mohd Mohzit Mohit, Faizul Salleh, Syed Othman Syed Abdullah, Datuk Mazlan Aliman, Noor Khalim Sakib, Rozita Abdul, Serudin Soud, Norazid Md Noh, Khairuddin A Rahim, Azhar Ismail dan Mohd Idris Jiat.

Konvensyen AMANAH Johor 2019 itu telah dirasmikan oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan yang turut hadir adalah Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub wakil parti komponen lain.