Aminolhuda sebak serah RM1juta bantuan pendidikan pelajar miskin negeri Johor

Oleh MALAYSIADATELINE

Pihak kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan pendidikan dan pembelajaran tidak terpinggir dalam masyarakat khususnya di negeri Johor, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Aminolhuda Hassan.

Beliau berkata  pembelajaran adalah suatu yang utama bagi membina tamadun manusia di negara ini, dan  pihaknya akan berusaha keras untuk mendapatkan maklumat  bagi membantu mereka yang terpinggir.

“Ini adalah usaha pihak kerajaan untuk membantu mereka yang miskin di negeri ini. Insiatif yang diberikan sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai pemerintah.

“Bantuan ini diberikan kepada mereka yang mendapat pendapatan RM750 isi rumah ke bawah. Golongan ini perlu dibantu bagi mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

“Saya tidak mahu ada lagi anak-anak di negeri ini khususnya dari orang Islam tercicir dalam pembelajaran,” beliau yang sebak dalam mengulas perkara itu, ketika berucap di Majlis Bantuan Yuran Pelajar Miskin di Johor Bahru, pada Ahad.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM 1 juta kepada seramai 10,000 kanak-kanak miskin untuk meneruskan pembelajarannya.

Beliau turut menangkis suara-suara yang mendakwa kerajaan hari ini tidak prihatin dalam soal pendidikan anak-anak di negeri ini.

“Kenyataan mereka yang berkata begitu adalah suatu yang lemah. Ini kerana pelbagai insiatif pihak kerajaan untuk memberikan pendidikan serta pembelajaran kepada anak-anak di negeri ini.

“Secara peribadi, saya sendiri pun tidak akan tergamak untuk melihat anak-anak ini tidak ada pendidikan dan pembelajaran yang baik.

“Kita sudah bina pelbagai perancangan untuk menjadi pendidikan dan pembelajaran di negeri ini akan menjadi yang terbaik di dalam negara,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyatakan segala cadangan dan pandangan yang baik terhadap pendidikan di Johor ini akan didengari oleh pihaknya untuk dibawa kepada permerkasaan sistem berkenaan.