Malaysia Dateline

Aminuddin bidas MCA jadikan kerajaan PH kambing hitam isu MMC

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini membidas MCA kerana gagal mengatasi kemelut yang dihadapi Pusat Perubatan Mawar (MMC) di sini semasa parti itu berkuasa sebelum ini.

Beliau berkata tindakan menunding jari kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang kini dikuasai Pakatan Harapan merupakan tindakan yang mahu menjadikan kedua-dua kerajaan sebagai ‘kambing hitam’ kepada kemelut berkenaan dan ianya tidak wajar.

“Sepatutnya MCA buat apa yang dicadangkan kepada kerajaan negeri itu dari dulu lagi. Kita tahu siapa yang ada dalam MMC itu sendiri. Jangan cari orang lain untuk dipersalahkan, sedangkan yang bersalah ketika mereka berkuasa tak selesaikan. Sekarang mereka serahkan kepada kita, ini tak adil,” katanya  kepada  pemberita di sini, hari ini.

Katanya, tindakan membatalkan lesen MMC adalah keputusan yang diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berlandaskan undang-undang ekoran kelemahan pengurusan pusat perubatan berkenaan.

“Ini bukan kesilapan kerajaan tetapi pengurusan yang kita ketahui ada kelemahan menyebabkan perkara ini berlaku dan kita tak harus menyalahkan kerajaan mengambil tindakan mengikut peraturan tapi sebenarnya kita kena melihat punca perkara ini berlaku barulah kita boleh menyalahkan sesiapa.

“Bila tindakan diambil kita tak menyalahkan punca perkara ini yang sepatutnya lebih awal ditangani oleh pihak berkenaan. Kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan hanya menjalankan tugas, yang sepatutnya dipersalahkan ialah pengurusan ataupun pihak yang bertanggungjawab diperingkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan yang dikemukan MCA bagi mengatasi isu penarikan lesen MMC pada 15 Jan lepas selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] manakala operasinya dihentikan pada 14 Feb lalu.

Mengulas mengenai nasib yang menimpa kakitangan MMC, Aminuddin berkata pihaknya sedang menunggu keputusan daripada KKM.

“Kita nak perbaiki kena beri masa. Kita kena buat kajian, dapatkan maklumat terlebih dulu. Kita tak mahu buat keputusan terburu-buru.

“Ia akan ambil sedikit masa mungkin seminggu atau lima hari. Kenapa lima hari (semasa kerajaan) sekarang terlalu lama. Dulu boleh tunggu berbulan dan bertahun, kenapa sekarang lima hari tak boleh tunggu,” soalnya.

Aminuddin turut meminta semua kakitangan pusat perubatan berkenaan bersabar dan yakin kerajaan akan membuat keputusan terbaik bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Pada Selasa, lebih 100 kakitangan MMC dari pelbagai unit membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di sini selepas tidak menerima gaji bulan Februari susulan penutupan pusat perubatan berkenaan.