AmInvestment Bank kekalkan saranan ‘beli” untuk Mah Sing

AmInvestment Bank kekalkan saranan ‘beli” untuk Mah Sing

AmInvestment Bank mengekalkan saranan “beli” bagi Mah Sing Group Bhd, berikutan pelancaran projek baharu oleh pemaju hartanah dan gaya hidup itu pada 2019, termasuk kediaman bangunan tinggi dan kediaman bertanah.

Ia percaya syarikat itu akan kekal positif bagi tempoh jangka sederhana sehingga jangka panjang dengan Mah Sing mempunyai hala tuju jelas bagi perumahan mampu milik yang mempunyai permintaan tinggi.

“Mah Sing telah melakukan beberapa pelancaran pada 2019 dengan tumpuan jualan pada kediaman mampu milik dan di lokasi strategik.

“Di kawasan tengah, Mah Sing akan melancarkan kediaman bangunan tinggi iaitu M Vertica Cheras Fasa 3 dan 4, M Centura Sentul Fasa  2, Sensory Residence, Southville City KL dan kediaman bertanah  Basil @ M Aruna, Rawang,” katanya dalam nota.

AmInvestment Bank mengambil perhatian syarikat itu juga akan melancarkan projek baharu di kawasan utara – Southbay City dan Icon Residence.

Tambahan pula, pulangan segera bagi model perniagaannya telah mengehadkan pendedahan kepada risiko penangguhan kelulusan tanah, mendorong pengurusan aliran tunai lebih baik.

Secara menyeluruh, Mah Sing mencatatkan jualan baharu bernilai  RM1.22 bilion bagi tempoh sembilan bulan pada  2018, dan berada di landasan untuk mencapai sasaran RM1.8 bilion bagi tahun kewangan 2018.

Jualan itu sebahagian besar diperoleh daripada pelancaran projek  baharu pada  2018 dengan harga di bawah RM500,000.

Loading...

Sementara itu, jualan tidak dibilkan berjumlah RM2.5 bilion akan dikutip bagi tempoh tiga tahun akan datang.

AmInvestment Bank menetapkan sasaran harga  RM1.21 bagi Mah Sing. Pada 11.09  pagi, saham Mah Sing naik setengah sen kepada  91 sen dengan transaksi 119,000 saham.

— BERNAMA