AmInvestment gondol enam anugerah serantau

AmInvestment gondol enam anugerah serantau

AmInvestment Bank Bhd telah memenangi enam anugerah serantau setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Seohan Soo dalam satu kenyataan hari ini memberitahu anugerah-anugerah tersebut terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam sektor perbankan pelaburan.

“Ini menonjolkan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian pasaran modal hutang terbaik kepada pelanggan,” katanya.

AmInvestment juga telah dinamakan sebagai Penasihat Pinjaman Terbaik untuk dua tahun berturut-turut pada Anugerah Asset Triple A Country 2018.

Ia juga memenangi Anugerah Kajian Pembiayaan Antarabangsa Asia 2018 berikutan peranannya sebagai penasihat prinsipal bersama, pengatur utama bersama, pengurus utama bersama, penasihat syariah bersama dan agen fasiliti bagi Program Sukuk Murabahah RM1.5 bilion Yinson TMC Sdn Bhd.

Sementara itu, ia juga memperoleh empat pengiktirafan merangkumi Tawaran Bon Paling Inovatif, Tawaran Sukuk Terbaik, Tawaran Murabahah Terbaik dan Tawaran Pembiayaan Tenaga Boleh Diperbaharui/Lestari Terbaik pada Anugerah Penyelesaian/Tawaran Tahunan ke-12 Alpha SEA 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Group Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, bank pelaburan itu akan terus berkembang berdasarkan kepada prestasi positifnya bagi mengekalkan kepimpinan dalam industri.

“Kami teruja dalam menerima anugerah-anugerah tertinggi ini untuk syarikat perbankan pelaburan kami. Ia menunjukkan bahawa kami berada di landasan yang betul ketika kami terus menongkah laluan dalam segmen perbankan pelaburan,” katanya.

— BERNAMA