Malaysia Dateline

Amir mahu jumpa setiap pengundi sebelum kempen tamat

Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum tempoh berkempen tamat, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi akui agak bimbang sekiranya tidak mempunyai cukup masa untuk menemui semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Amir berkata, bertanding atas tiket Bebas membuatkannya perlu gandakan usaha untuk menemui penduduk bagi memperkenalkan dirinya dan menerangkan gagasan yang mahu dibawa kelak.

Lebih-lebih lagi katanya, beliau sedang berusaha untuk memastikan untuk bertemu dengan sekurang-kurangnya 13,000 penduduk di kawasan Slim.

“Terus terang saya khuatir tak dapat temui semua pengundi. Saya dari calon bebas kena perkenalkan diri, terangkan apa kemampuan saya, dan apa ikrar saya.

“Sekurang-kurangnya 13,000 pengundi saya wajib kan untuk berjumpa. Sebab saya percaya dengan hanya melalui sentuhan, bertemu dan perkenalkan diri, mereka dapat lihat saya dari mata ke mata. Saya harap dapat menambat hati mereka,” katanya lagi semasa wawancara bersama media hari ini.

‘Jangan riso teman ada jadi siulan penduduk’

Berkongsi pengalaman dan cabarannya sepanjang berkempen, Amir bagaimanapun mengakui slogan ‘Jangan riso, teman ada’ yang dibawanya kini pula menjadi siulan penduduk kampung.

Menurutnya, perkara itu sebenarnya memudahkan perjalanannya untuk bertemu penduduk kampung kerana ada yang sudah mengenalinya.

“Dah tak susah, asalkan saya perlu ada di sini dengan pengundi. Golongan sasaran saya ialah warga emas. Kebanyakan semua masjid dan surau berdekatan Pusat Daerah Mengundi (PDM), saya dah pergi. Saya sempat bertemu mereka

“Aktiviti dengan pengundi muda juga saya laksanakan seperti aktiviti memancing, bermain futsal bersama dan badminton,” katanya lagi.