Amirudin angkat sumpah MB Selangor

Amirudin sah sebagai MB Selangor menggantikan Mohamed Azmin Ali

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua Amirudin Sahri hari ini sah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang kira-kira jam 10 pagi tadi

Amirudin yang memegang portfolio Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan merupakan Setiausaha PKR Selangor yang dilihat sangat rapat dengan Azmin sejak penubuhan parti itu pada 1998.

Sebelum ini, beberapa nama calon menteri besar disebut-sebut antaranya, Adun Ijok, Dr Idris Ahmad dinamakan oleh empat parti Pakatan Harapan untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun nasib menyebelahi Amirudin.

Amirudin dilihat memasuki Istana Bukit Kayangan di Shah Alam petang semalam dan kemunculannya itu menghangatkan lagi jangkaan beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Azmin.

Amirudin, 38, dilaporkan memasuki Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pukul 5.30 petang semalam dan keluar kira-kira sejam kemudian.

Media juga melaporkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani keluar dari istana kira-kira lima minit selepas itu.

Amirudin dan Munir bagaimanapun tidak bercakap kepada media.

Sumber memaklumkan, Amirudin ke istana untuk menghadiri “raptai” majlis angkat sumpah.

4 Jun lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyampaikan nama Dr Idris sebagai calon MB.

Ia disokong oleh surat dari Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Rashid Ansari.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote