Permuafakatan yang diketengahkan oleh Pakatan Harapan terutamanya dari segi beberapa aspek transformasi mengangkat semula martabat Parlimen sebagai medan utama 222 wakil rakyat dapat direalisasikan.
Dalam perutusan Hari Malaysia Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari melihat keadaan Parlimen sebelum ini seolah-olah di bawah telunjuk Sang Penguasa beroerientasikan zero-sum game yang hanya menguntungkan si pemenang.
Kini katanya Parlimen Malaysia boleh berfungsi dengan lebih berkesan dan berwibawa sekaligus mengakhiri dominasi satu pihak dan digantikan kerjasama dan kolaborasi pelbagai koalisi dan parti.
“Ini merupakan iktibar yang harus diambil oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini yang bertindak menganiaya dan membuli pembangkang,” katanya.
Beliau berkata permuafakatan yang terhasil bukan suatu gencatan politik dan tidak wajar dilihat begitu.
“Fungsi dan peranan blok pembangkang akan ditambah bukan sahaja melalui aspek semak dan imbang ataupun ‘check and balance’ tetapi menganggotai proses transformasi sistem supaya aspek-aspek asas kepentingan
rakyat dijamin,” katanya.
Amirudin berkata Selangor telah lama menjayakan permuafakatan ini sejak tahun 2008 apabila Pakatan Rakyat pada ketika itu mengambil alih pentadbiran.
Di mana katanya, Ketua Pembangkang diberi beberapa wewenang berbentuk keistimewaan tertentu selain dilantik pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam, suatu perubahan yang dimulakan sejak tahun 2014.
Selangor sekali lagi mengorak langkah dengan memberi peruntukan khas kepada DUN pembangkang serta menjemput Ketua Pembangkang ke dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (Pengurusan Pandemik) dalam usaha bersama-sama mendepani COVID-19.
Selain itu, katanya beberapa inisiatif membantu rakyat yang berjaya dibidankan oleh Pakatan Harapan kini telah diangkat ke peringkat persekutuan.
“Waima demikian, beberapa lagi aspek kooperasi dan kesaksamaan harus dilakukan supaya prinsip federalisme dapat benar-benar direalisasikan.
“Ini termasuk pengagihan peruntukan sejajar dengan peranan, fungsi, kedudukan serta sumbangan sesuatu negeri kepada ekonomi negara yang harus dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan pentadbiran negeri terus mampan.
“Inilah yang wajar menjadi teras dan fokus pimpinan negara sejajar dengan prinsip Hari Malaysia kali ini\,” kata beliau.