
Amirudin seru Adun Selangor bulat tekad, bermuafakat dan kerjasama kukuhkan PH
Keadilan Negeri Selangor melahirkan rasa syukur atas komitmen pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor bagi memenuhi mandat rakyat pada PRU14 lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari, ketika rakyat diselubungi kekeliruan dan ketidaktentuan, pimpinan PH Selangor memegang teguh tali persefahaman demi kepentingan mengangkat martabat rakyat Selangor.
“Keadilan selaku tonggak PH di Selangor terus teguh bersama demi melaksana amanah yang diberikan rakyat.
“Saya di samping 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor daripada PKR memberi sepenuh sokongan untuk mengukuhkan tekad bekerjasama dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, yang dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.
“Keadilan Selangor mengulangi janji untuk terus setia dan bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam PH Selangor iaitu DAP dan Amanah.
“Kami akan terus bekerja kuat bagi memakmur dan mensejahterakan rakyat Selangor.
“PH Selangor tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh rakyat Selangor,” katanya lagi.