Malaysia Dateline

Amirudin tidak setuju PKPB di seluruh Selangor, anggap zon bukan merah terkawal

Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa zon hijau.

Menteri Besarnya, Datuk Amirudin Shari berkata, ini kerana beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.

Perkara itu diambil kira selepas keputusan mesyuarat yang dipengerusikannya pagi tadi menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

“Pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Menteri Kanan Pertahanan sebentar tadi agak mengejutkan kerajaan Negeri kerana keputusan mesyuarat tadi menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

“Perlu dinyatakan di sini bahawa sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan Negeri melihat ada beberapa cadangan-cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada MKN untuk dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas bermesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk pelaksanaan PKPB di daerah Petaling.

Justeru katanya, kerajaan Negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula.

Sebentar tadi, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk melaksanakan PKPB di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya susulan peningkatan kes Covid-19 yang tidak menunjukkan penurunan angka.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes di daerah Selangor seperti Klang, Petaling dan Gombak.

Pada masa sama, kes positif Covid-19 merekodkan sebanyak 563 kes baharu menjadikan keseluruhan kes sebanyak 16,220 kes.

Amirudin menambah, kerajaan negeri menghargai sekiranya komunikasi krisis yang lebih efektif dilakukan.

Katanya, hal itu melibatkan semua pihak agar sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya petang tadi memaklumkan penularan jangkitan Covid-19 di Lembah Kelang sudah berselerak.

Menurutnya, kes baharu jangkitan Covid-19 pada masa ini meningkat mendadak di Lembah Kelang.

“Walaupun bilangan kes harian kurang 100 sehari tetapi konsisten dan berselerak di semua daerah kecuali Sabak Bernam.

“Kita tidak boleh menunggu zon hijau dan kuning menjadi merah,” tegasnya dalam siaran langsung menerusi FB KKM hari ini.

Sehubungan itu, kata Dr Hisham penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bergantung pada corak penularan jangkitan.