Malaysia Dateline

Jangan libatkan Anwar dalam kemelut Umno-Bersatu, pesan AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberi amaran agar pihak tertentu tidak melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kemelut politik antara Umno dan Bersatu.

Naib Ketua AMK Selangor, Dzulhilmi Zainol (gambar) menegaskan, rakaman audio yang tersebar baru-baru ini merupakan modus operandi yang cuba digerakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap realiti semasa yang berlaku terhadap ketidakcekapan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kedudukan kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dari masa semasa telah menggambarkan keretakan yang amat ketara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau terlibat dalam satu rakaman perbualan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahidk Hamidi yang tular di media sosial.

Beliau berkata, rakaman tersebut sengaja mahu mempergunakan PKR dalam pergolakan politik antara Bersatu dan Umno.

Anwar juga menganggap percaturan yang berlaku itu merupakan tipu helah pemimpin negara yang sedang gundah gulana, mengugut dan menyebarkan fitnah terhadap mereka yang tidak termakan dengan pujukan rasuah.

Sementara itu, Dzulhilmi berkata, sebelum ini juga pernah tular audio membabitkan Muhyiddin bersama pimpinan tertinggi Bersatu yang jelas mengandungi unsur rasuah atau suapan yang boleh didakwa berdasarkan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga hari ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka walaupun berpuluh laporan polis telah dibuat oleh orang awam di seluruh negara.

Bahkan katanya, rakyat sudah faham dengan realiti semasa yang berlaku selepas lebih setahun PN ditubuhkan di mana isu keabsahan kerajaan masih tidak terjawab dan mereka terus memanfaatkan perlaksanaan darurat demi mengekalkan kedudukan dan kuasa yang sedia ada.

Ini katanya dapat dibuktikan melalui pertumbuhan ekonomi negara dan pelaburan asing telah menyusut sebanyak 5.6 peratus dan 68 peratus susulan daripada perlaksanaan darurat dan pergantungan Parlimen.

“Sudah tiba masanya, rakyat Malaysia mengenepikan soal perbezaan pandangan politik demi menjamin masa depan negara.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sosok tubuh yang paling layak untuk menerajui tampuk pemerintahan negara berdasarkan rekod beliau dalam menguruskan pentadbiran negara terutamanya ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan,” katanya lagi.