AMK cabar Pemuda Umno berdebat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Atas semangat meraikan demokrasi dan politik matang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) ingin mencabar Pemuda UMNO ke meja debat. AMK bersedia untuk menyediakan platform bagi membolehkan debat ini berlangsung secara terbuka.

Setiausah Pengelola AMK Syukri Razab berkata, debat ini dicadangkan ekoran kenyataan balas ditulis oleh individu tertentu yang mempertikai prestasi Ketua AMK, Nik Nazmi Nik
Ahmad dalam memimpin sayap pemuda Keadilan dan sejauh mana prestasinya sebagai Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor.

“ Melihat kepada perdebatan hangat yang tercetus di dinding-dinding maya ini, maka AMK merasakan adalah lebih baik jika isu ini dibawa secara serius ke meja perdebatan agar perbincangannya menjadi lebih berfokus dan kontruktif,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin gagal mempertingkatkan integriti pemimpin UMNO walaupun cuba memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin muda yang moderat.

Nik Nazmi bercakap demikian semasa memberi ucapan penggulungan di Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat 2015 baru-baru.

Ketua AMK itu, secara sinis mencadangkan Khairy lebih baik menjadi bintang television.

Kenyataan ini secara jelas dikeluarkan dalam konteks kegagalan Pemuda UMNO bersikap tegas terhadap Perdana Menteri yang terpalit dengan pelbagai skandal serta kegagalan Pemuda UMNO menangani isu-isu perkauman yang semakin menjadi-jadi.

“ Sebaliknya respon Pemuda Umno terhadap kenyataan Ketua AMK ini jelas menunjukkan mereka benar-benar tersinggung.” Ujarnya.

AMK turut mencadangkan topik perdebatan adalah, yang pertama, Benarkah Malaysia sedang menuju ‘Negara Gagal’?. Kedua, Apakah Politik Melayu Terancam?, dan pilihan ketiga,
Apakah pemotongan bajet Pendidikan Tinggi merupakan helah untuk Kerajaan lepas tanggungjawab?.

Syukri berkata, bagi membentuk garis perdebatan, AMK juga suka untuk mencadangkan topik berikut untuk dipilih mengikut kesesuaian dan keselesaan Pemuda UMNO.

“ Pemuda UMNO boleh memilih salah satu daripada tiga topik tersebut. AMK juga terbuka untuk menerima sebarang cadangan topik lain daripada Pemuda UMNO sekiranya ada.

“AMK berharap perdebatan antara Ketua AMK Malaysia dan Ketua Pemuda UMNO ini akan menjadi medan ilmiah untuk masyarakat khususnya generasi muda mendapat penjelasan primer mengenai isu-isu terkini yang melanda Negara.

“ Tanggapan pesemis yang mengatakan perdebatan tidak membawa ke mana perlu ditolak jauh kerana negara-negara maju hampir semuanya menjadikan debat sebagai salah satu daripada isi penting ‘good governance’.

“Kalah menang bukan pertimbangan utama debat, tetapi yang lebih penting ialah memberi akses kepada pendengar mendapat input yang pelbagai seterusnya membuat pendirian yang bijak,” ujarnya.

Malah Syukuri menambah, debat ini juga menjadi peluang untuk Khairy membuktikan bahawa Umno sudah keluar daripada politik konservatif perkauman.

“ Umum sudah arif dengan gaya politik UMNO. Apabila mereka gagal berhadapan dengan rakyat mengenai isu 1MDB, skandal 2.6 billion, Mara, dan pelbagai lagi isu yang melanda Kerajaan, maka jalan terakhir yang UMNO gunakan ialah untuk berselindung disebalik tembok perkauman.” Ujarnya

TAGS