Malaysia Dateline

AMK gariskan lima tumpuan utama bentuk anak muda

Pembentukan komuniti muda, pendidikan tinggi dan peranan mahasiswa, ekonomi anak muda, reformasi dan kepimpinan, serta disiplin organisasi adalah lima perkara tumpuan Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi mendepani permasalahan generasi muda negara ini.

Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata PKR, yang menjadi tunjang parti pemerintah, dan Pakatan Harapan kini berpeluang untuk merealisasikan reformasi serta perubahan sebagai sebuah kerajaan dan memacu negara ke arah yang lebih baik.

“Namun selepas setahun setengah wajarlah untuk kita bermuhasabah dan menilai sejauh mana pencapaian kita khususnya dalam mendepani nasib dan harapan golongan anak muda.

“Sebagai sayap pemuda parti Keadilan, politik sudah menjadi tugas hakiki kita. Pada masa yang sama, kita juga perlu melihat kepada kerangka yang lebih holistik, yang meliputi cabaran ekonomi, sosial dan sivik dalam kalangan anak muda,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional AMK 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini.

Berucap di hadapan 1,088 anggota perwakilan pada kongres yang bertema ‘Reformasi Dua Dekad, Mengisi Kemenangan Rakyat’, beliau berkata PKR yang kini menjadi parti pemerintah hendaklah menjadikan pengalaman 20 tahun ‘reformasi’ sebagai asas dan roh kekuatan AMK.

Dalam usaha membentuk komuniti muda, beliau berkata AMK tidak boleh bergantung hanya kepada agensi atau jabatan semata-mata, sebaliknya AMK perlu kekal berperanan dalam masyarakat.

“Saya sarankan kita wujudkan kempen gerakan ‘Komuniti Muda’ untuk menyelaraskan program dan aktiviti di seluruh negara. Kita akan lancarkan selepas Tahun Baharu Cina supaya usaha AMK di akar umbi akan memberi kesan positif dan dirasai melangkaui kawasan masing-masing,” katanya.

Sejajar dengan tanggungjawab dan cabaran dihadapi sebagai parti politik yang sentiasa mendambakan perubahan ke arah kebaikan, PKR katanya haruslah bermuhasabah dan menilai sejauh mana pencapaian khususnya dalam mendepani nasib dan harapan golongan anak muda.

Dalam nada berterus terang, Akmal Nasrullah berkata bagi menghadapi cabaran dan isu pendidikan tinggi dan peranan mahasiswa, AMK perlu berperanan sebagai pemudah cara terutamanya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi mahasiswa.

Mengambil contoh tindakan menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus dengan pelaksanaan program foodbank, beliau berkata program foodbank siswa ini perlu diperkemaskan.– BERNAMA