Malaysia Dateline

AMK gesa syarikat penyedia aplikasi penghantar makanan teliti semula caj

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa syarikat penghantaran makanan untuk meneliti kembali polisi dan caj perkhidmatan yang dikenakan.

Setiausahanya Syukri Razab berkata, syarikat penyedia aplikasi penghantar makanan perlu adil bagi membantu kumpulan peniaga dan ‘riders’ yang sedang cuba untuk bertahan ketika pandemik Covid-19 ini.

Sehubungan itu, AMK Malaysia akan menggerakkan kempen #AMKSupportLokal di seluruh negara bagi membantu golongan peniaga terutama anak muda.

Kempen tersebut, jelasnya, bagi mempromosikan perniagaan golongan muda di samping dapat menambah pendapatan.

“Pada masa yang sama, AMK Malaysia berpendapat bantuan-bantuan kewangan yang diumumkan dalam pakej Pemulih perlu disegerakan bagi meredakan kesusahan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden tular membabitkan sebuah syarikat penghantaran makanan yang mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi sehingga menjejaskan pendapatan peniaga.