Malaysia Dateline

Harga barang naik menjelang Ramadan baru baru ini Foto Wan Zahari Wan Salleh

AMK Kedah desak kerajaan negeri, KPDNHEP selesai segera isu harga barang 

Kerajaan didesak supaya segera mencari solusi bagi memastikan kenaikan harga barangan dapat ditangani dengan segera.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Firdaus Johari, rakyat sangat terkesan dengan peningkatan harga barangan yang berlaku secara mendadak sehinggakan memberi kesan kepada semua golongan masyarakat.

“Golongan B50 dan miskin bandar paling terkesan tambahan pula mereka baru sahaja bangkit semula selepas teruk terkesan akibat penutupan sektor ekonomi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun 2020.

“Sehingga ke hari ini tidak nampak tindakan serius kerajaan bagi menangani masalah kenaikan harga barangan tersebut, kecuali alasan demi alasan yang diberikan sehinggakan menambah kegusaran dan derita rakyat dengan dakwaan bahawa ‘kenaikan harga barang adalah normal’.

“Sehubungan itu AMK Negeri Kedah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta juga kerajaan negeri Kedah supaya segera mencari solusi bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan tersebut,” ujar beliau.

Tambah Firdaus lagi, luahan bebanan kenaikan harga barangan perlu dipandang serius dan diberikan perhatian sewajarnya kerana rakyat sentiasa mengharapkan langkah-langkah proaktif yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.B60