AMK kenalpasti kerusi yang Pas kalah untuk ditandingi PKR

AMK kenalpasti kerusi yang Pas kalah untuk ditandingi PKR

Angkatan Muda PKR (AMK) telah mengenalpasti beberapa kerusi yang wajar diberikan kepada PKR selepas Pas gagal memenangi kerusi-kerusi tersebut walaupun telah berulang kali bertanding di kerusi itu sejak beberapa penggal yang lepas.

 

Dr Afif timbalan ketua pemuda PKRAngkatan Muda PKR (AMK) telah mengenalpasti beberapa kerusi yang wajar diberikan kepada PKR selepas Pas gagal memenangi kerusi-kerusi tersebut walaupun telah berulang kali bertanding di kerusi itu sejak beberapa penggal yang lepas.

Justeru AMK akan memanjangkan cadangan mereka kepada pimpinan parti untuk menuntut kerusi-kerusi ini bagi diserahkan kepada PKR untuk diwakili.

Sehubungan dengan itu, Timbalan AMK, Dr Afif Bahardin (gambar) menyeru pimpinan PKR menyegerakan rundingan kerusi dengan parti pembangkang lain terutamanya Pas bagi menentukan kedudukan kerusi pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Katanya, langkah ini perlu bagi memastikan perlawanan satu lawan satu untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN).

“AMK mengambil semangat tema Muktamar Dewan Pemuda PAS semalam, Bertekad Melebar Muafakat mengulangi pendirian agar semua pimpinan pembangkang waima dari Pakatan Harapan, PAS mahupun parti-parti pembangkang lain untuk segera ke meja rundingan bagi bermuafakat menentukan kedudukan kerusi pilihanraya menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 demi memastikan perlawanan satu lawan satu untuk berhadapan dengan regim Barisan Nasional.

“Formula yang telah ditinggalkan dan usaha yang digagaskan oleh Ketua Umum Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan pakatan pembangkang yang kuat telah terbukti menjadi senjata ampuh untuk menewaskan Barisan Nasional dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Malaysia Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kelmarin agar Pas menuntut semula kerusi-kerusi pilihan raya yang ‘dipinjamkan’ kepada PKR dan DAP.

Afif yang juga exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berkata, PKR sebagai parti pelbagai kaum yang paling ke hadapan dalam persada politik negara sewajarnya diberikan ruang untuk bertanding di kerusi-kerusi yang telah gagal ditawan PAS sebelum ini.

“PKR sehingga hari ini bukan sahaja satu-satunya parti dalam Malaysia yang memiliki wakil rakyat di setiap negeri bagi penggal ini, bahkan PKR juga telah mempunyai cabang parti di kesemua kerusi Parlimen di negara ini iaitu sebanyak 222 cabang,” katanya.

Afif adalah antara pimpinan PKR yang menjadi tetamu Muktamar Pemuda Pas di Kota Bharu ketika Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyerang PKR dan mencadangkan agar Pas mengambil semula kerusi yang kononnya dipimjamkan kepada PKR dan DAP.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke semalam mempersoal ucapan Nik Abduh itu yang disifatkan sebagai dusta ke atas DAP.

“Saya ingin bertanya kepada Nik Abduh, kerusi manakah yang “dipinjamkan” oleh PAS kepada DAP dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13)?

“Mengikut rekod kami, tidak ada sebarang rundingan kerusi di antara PAS dengan DAP sebelum PRU13 kerana tidak ada pertindihan kerusi yang ditandingi oleh kedua-dua parti.

“Justeru itu, soal PAS “meminjamkan” kerusi kepada DAP untuk ditandingi tidak timbul sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

TAGS