Malaysia Dateline

AMK kutuk tindakan kunci dewan bagi program bantuan Aidilfitri MB Selangor

Angkatan Muda Keadlian (AMK) Gombak berasa kecewa dengan tindakan kebudak-budakan Pegawai Adun Gombak Setia yang telah mengunci pintu pagar Dewan Serbaguna Batu 8 Gombak Utara bagi Program Penyampaian Bantuan Raya Aidilfitri oleh Menteri Besar Selangor.

Dalam satu kenyataan semalam, AMK Gombak berkata, tindakan kebudak-budakkan ini telah menyebabkan kesulitan kepada para penerima sumbangan yang terpaksa berpanas akibat tindakan mengunci dewan tersebut.

“AMK Gombak juga mendesak agar Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Tanah Gombak untuk segera menyiasat insiden tidak bertamadun ini yang jelas melanggar adab dan akhlak ketimuran lebih-lebih lagi ia berlaku di bulan Ramadhan dan di saat kita hendak menyambut Aidilfitri.

“Pengurusan dewan tersebut hendaklah dilucutkan hak mengurus dewan tersebut dengan serta merta,” katanya.

Selain itu, AMK Gombak juga memohon campur tangan segera YB Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyiasat penglibatan Ahli Majlis MPS dalam insiden mengunci pintu pagar dewan itu.

Katanya, tindakan tatatertib perlu segera dikenakan jika beliau terlibat dan pihaknya tidak boleh menerima sama sekali tindakan yang jelas dilakukan untuk memalukan dan menghina MB Selangor.

AMK Gombak turut menasihatkan wakil rakyat pembangkang di Dun Gombak Setia, Hilman Idham supaya lebih cerdik dan matang dalam mengurus perbezaan ideologi politik dan jangan sesekali cuba membawa budaya samseng dan jahat ke Gombak.

“Memandangkan YB Gombak Setia bukan anak kelahiran Gombak dan bukan juga berasal daripada Gombak maka amatlah wajar agar YB Gombak Setia mempelajari adab dan akhlak Orang Gombak.

“Gunakan kesempatan bulan Ramadhan ini untuk bermuhasabah diri dan mencerminkan diri. Sesungguhnya ruang taubat dan insaf itu masih terbuka luas,” katanya.