Malaysia Dateline

AMK lancar Kempen ‘Teguh Setia Bersama DSAI’

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini melancarkan Kempen ‘Teguh Setia Bersama DSAI’ sebagai solidariti terhadap Presiden PKR itu.

Ketua AMK, Akmal Nasir berkata, kempen tersebut bertujuan menyatakan solidariti kepada Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal Perdana Menteri Malaysia Ke-8 seperti yang telah disepakati Pakatan Harapan.

“Kempen ini menyeru para anggota Parti Keadilan Rakyat, pendokong Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia untuk menukar gambar profil laman sosial masing-masing dengan logo kempen yang boleh didapati di laman Facebook rasmi Angkatan Muda Keadilan bersama tanda pagar (#)TeguhSetiaDSAI.

“Kempen berkenaan bermula hari ini sehingga kemelut politik ini selesai. Kemuncak kepada kempen ini ialah pada 29 Februari 2020 iaitu AMK akan mengadakan Majlis Pelancaran Komuniti Muda bermula pada jam 7.30 malam bertempat di Pantai Batu Satu, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Justeru, kami menjemput seluruh aktivis AMK untuk bersama menunjukkan sokongan dan kejituan mendepani krisis politik negara dalam majlis ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam isu sama, Akmal menyifatkan tidak ada rakyat Malaysia yang waras fikirannya dapat menerima pengkhianat yang ingin menakluki kuasa melalui jalan yang sangat tidak demokratik.

Beliau berkata, pihaknya percaya semua yang berlaku hanya kerana terdapat segelintir individu yang tidak senang dengan keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini yang telah bersepakat untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas sidang APEC.

“AMK juga ingin menjunjung kasih dan keyakinan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan beliau mengendalikan kemelut politik ini.

“Kami (AMK) menyakini Tuanku cukup memahami aspirasi rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan dan sebarang usaha khianat untuk menafikan perkara ini perlu dihentikan,” ujarnya lagi.