Malaysia Dateline

AMK mahu peralihan kuasa segera dibincangkan Majlis Presiden PH

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa agar Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) segera membincangkan penetapan tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ketuanya, Akmal Nasrullah Nasir  berkata, dengan mengambil kira  penetapan tarikh peralihan kuasa itu akan mencerminkan kesepakatan yang utuh dalam Pakatan Harapan.

“Ia mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Maka saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa peralihan kuasa Perdana Menteri hanya akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 selesai dianjurkan, akhir tahun ini.

 Justeru itu, katanya tidak timbul sama sekali isu peralihan kuasa Perdana Menteri akan dilakukan pada Mei depan.

Tambah Akmal lagi,  PH sudah bersetuju agar peralihan berlaku dalam tempoh 2 tahun  PH memerintah. Justeru itu, katanya peralihan kuasa itu perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan.

“Kita seharusnya berterima kasih dan menghormati keputusan peletakkan jawatan Menteri oleh YB Dr Maszlee Malik dan sebelum ini jawatan Menteri Besar Johor oleh YB Osman Sapian.

“Pengalaman ini menunjukkan bahawa pertukaran boleh berlaku dengan baik dan harmoni dalam pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya lagi.