Malaysia Dateline

AMK mahu setiausahanya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Skuad Keselamatan

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham mahu sekretariat yang diterajui Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Skuad Keselamatan AMK.

Katanya, skuad keselamatan itu bukan sahaja menghalang perwakilan yang sah, malah ada pimpinan exco AMK, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan seketeriat ibu pejabat PKR dihalang dan dikasari daripada memasuki dewan kongres.

“Pasukan keselamatan yang menjaga di depan pintu dewan kongres itu adalah tanggungjawab sepenuhnya daripada sekretariat.

“Video yang tular juga menunjukkan skuad keselamatan tersebut mengasari mereka yang berada di situ. Justeru, pimpinan AMK dengan sebulat suara bersetuju untuk tidak hadir dan meneruskan sesi kongres AMK.

“Saya dan pimpinan AMK kesal serta sedih kerana Kongres Nasional Tahunan yang bermula baik dan harmoni malam tadi, dicemari sabotaj terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas, hari ini berkaitan keselamatan kongres yang diadakan di D’Village Resort, Ayer Keroh kira-kira dua kilometer dari MITC.

Dalam perbincangan yang dijalankan kira-kira jam 3 petang itu, Hilman berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan termasuk Syukri Razab yang menguruskan sekretariat AMK.