Malaysia Dateline

AMK P.Pinang kecam provokasi, serangan penyokong BN terhadap Syed Saddiq

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi dan cubaan serangan secara fizikal yang dilakukan oleh segelintir penyokong BN terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal.

Jelas Zakwan lagi, tindakan tersebut adalah suatu tindakan biadap dan tidak sepatutnya menjadi amalan.

Malah katanya, sikap segelintir pendokong BN tersebut membuktikan bahawa mereka sudah kehilangan modal sehinggakan terpaksa menggunakan provokasi dan gangsterisme.

“Tindakan ini turut memperlihatkan ketidakmatangan BN dalam berpolitik khususnya generasi muda.

“AMK Pulau Pinang memohon supaya pimpinan tertinggi Umno-BN segera bertanggungjawab dan menzahirkan permohonan maaf secara terbuka atas insiden yang berlaku.

“Kebiadapan ini mencerminkan kegagalan pimpinan dan parti Umno-BN untuk membentuk peribadi yang baik dalam kalangan penyokong dan pendokong mereka khususnya menjelang pilihan raya kecil Dun Semenyih,” ujarnya lagi.

Tambah Zakwan lagi, seharusnya penyokong BN lebih matang dan tidak menggunakan provokasi melampau yang mampu memberi kesan negatif kepada masyarakat,

Dalam insiden pagi semalam, selepas selesai proses penamaan calon bagi Dun Semenyih, Syed Saddiq nyaris diserang sekumpulan penyokong BN ketika menuju ke keretanya.