Malaysia Dateline

AMK sambut baik pakej rangsangan Kita Selangor

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyambut baik pakej rangsangan Kita Selangor yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari semalam.

Timbalan Ketua Penerangannya, Mohammad Ammirul Azahar berkata, pakej tersebut merupakan pakej rangsangan peduli rakyat dan mengambil berat para usahawan serta peniaga yang turut terkesan sama akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0

Beliau berpendapat, pakej tersebut yang berjumlah RM73.877 juta merupakan inisiatif kerajaan yang menyeluruh dalam menangani pandemik Covid19 dan juga mendepani kemelesetan ekonomi akibat pelaksanaan PKP.

“Dengan pakej rangsangan #KitaSelangor yang bersifat inklusif ini, ia pasti akan membela kebajikan rakyat dan pada masa yang sama memberi jaminan kepada para usahawan dan peniaga untuk terus menjalankan perusahaan yang dijalankan.

“AMK Selangor yakin bahawa Pakej Kita Selangor ini akan memberi rangsangan dan memberdaya bukan sahaja rakyat Selangor secara amnya, tetapi kepada generasi muda khususnya yang kini bergiat aktif di dalam aktiviti usahawan dan perniagaan.

“Bukti usaha kerajaan ini dapat dilihat dengan inisiatif yang diperkenalkan seperti; Skim Niaga Darul Ehsan (NADi) bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan, Inisiatif Selangor Freelance sebanyak RM10 Juta buat mereka yang berkerja secara sendiri dan bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Mohammad Ammirul berkata, AMK Selangor komited akan membantu usaha kerajaan negeri dan menjadi pemudahcara dalam membantu rakyat menikmati pakej rangsangan yang telah diumumkan dan pada masa yang sama membendung penularan Covid19.