AMK sambut baik resolusi pertemuan Anwar, Azmin

AMK sambut baik resolusi pertemuan Anwar, Azmin

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik resolusi yang dicapai hasil perbincangan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali petang tadi.

Resolusi berkenaan ialah untuk mengembalikan tradisi dan konvensyen parti dengan Perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita 2019 oleh Timbalan Presiden yang akan diadakan esok.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan untuk melaksanakan Perasmian Penutup bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi PKR pada 6 Disember nanti.

AMK juga jelasnya amat menghargai kepimpinan berkenaan dalam menyelesaikan isu perasmian Kongres Nasional AMK 2019 yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.