Malaysia Dateline

AMK Sarawak gesa kerajaan negeri sediakan bantuan khas

Kerajaan Negeri Sarawak digesa menyediakan bantuan khas kepada rakyat di negeri ini berikutan bagi menghadapi situasi yang terjejas akibat Covid-19.

Majlis Pimpinan Negeri Angkatan Muda Keadilan(AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata, kerajaan negeri harus mengambil tindakan segera dengan menyediakan bantuan khas untuk rakyat Sarawak khususnya mereka yang paling “vulnerable” dalam masyarakat.

Kata kenyataan itu, AMK Sarawak mengalu-alukan derma RM1 juta kepada China oleh kerajaan negeri pada Februari lalu sebagai tanda sokongan antarabangsa dalam usaha memerangi Covif-19, namun, kini tibalah masanya Sarawak menumpukan fokus terhadap permasalahan rakyat di negeri ini.

“Kami harap pakej bantuan yang telah atau bakal dirangka Kerajaan Negeri Sarawak dapat meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19 seperti yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“AMK Sarawak juga menyeru agar Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyaluran bantuan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi 2020 demi kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19,” tegas kenyataan itu di Kuching malam tadi.

Tambah kenyataan itu lagi, AMK Sarawak menaruh harapan yang tinggi agar seluruh rakyat Malaysia dapat berganding bahu dengan pihak berkuasa dan mematuhi semua garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang kini dilaksanakan.

“Dengan kerjasama, usaha dan doa berterusan seluruh rakyat Malaysia, kami yakin “perang” abad ke-21 ini dapat dimenangi,” tambahnya.

Sebagai rekod, setakat semalam, Malaysia telah merekodkan empat kematian terbaharu ekoran wabak Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai lapan orang termasuk tiga mangsa dari Sarawak.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan petang semalam.