Bersih 7: AMK Selangor sedia buka pentas forum Jamal berdebat

Oleh MALAYSIADATELINE

Afzainizam RahmanAngkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bersedia memberikan platform terbaik buat kumpulan Baju Merah untuk berdebat dan membincangkan isu-isu yang berbangkit di Selangor.

Ketuanya, Afzainizam Rahman berkata, peluang tersebut dibuat sebagai jaminan keterbukaan dan prinsip demokrasi diamalkan di Selangor.

“Kami menghormati hak-hak berhimpun dalam masa kita memerlukan hak berhimpun itu penuh adab, dan untuk itu kami bersedia mengadakan forum intelektual bersama Baju Merah.

“Kita boleh sediakan pentas untuk nyatakan tuntutan masing-masing. Cuma wujud persoalan tentang provokasi kumpulan merah ini, adakah cara mereka ini menunjukkan gaya pemikiran yang cuba dibawa kumpulan itu?” katanya seperti dipetik Selangorkini.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui di luar bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, selepas sidang media ketua gerakan kumpulan itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Terdahulu, Jamal pada sidang medianya memaklumkan akan mengadakan himpunan dinamakan sebagai Bersih 7, kononnya dianggap sebagai himpunan terbesar rakyat menyelamatkan Selangor.

Bercakap lanjut, Afzainizam yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam berkata, Jamal selaku Ketua Umno Bahagian Sungai Besar harus berfikiran matang dan bukan bersifat kebudak-budakkan yang akhirnya menunjukkan kelemahan pemimpin Umno itu.

“Kerajaan Negeri sudah membuat penjelasan panjang lebar di Dewan Negeri (DNS) tentang inisiatif dan hal-hal kebajikan rakyat.

“Mungkin Baju Merah ini tidak membaca atau tidak mengambil tahu komitmen yang dinyatakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan AMK Selangor, Nizan Adli Mohd Noor turut mengulas tindakan Jamal yang mengadakan sidang media di hadapan pintu masuk kompleks Kerajaan Negeri, petang ini.

“Kami mengecam tindakan Jamal dan kumpulannya apabila tindakan mereka ini menghalang penjawat awam negeri untuk menjalankan tugas apabila pintu-pintu bangunan terpaksa ditutup, hanya kerana cubaan Jamal menyampaikan perkara fintah ini,” ujarnya.