Malaysia Dateline

AMK Selangor persoal status terkini undi 18

Naib Ketua AMK Selangor, Dzulhilmi Zainol mempersoalkan perkembangan pelaksanaan undi 18 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sepatutnya perlu dikuatkuasakan pada Julai tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu tampil dengan lebih berani dalam menyelesaikan isu ini serta menyatakan pendirian dan status terkini terhadap perlaksanaanya.

Ini kerana katanya, sehingga kini masih tiada sebarang respon dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertanggungjawab dalam memperjuangkan hak anak muda dalam negara.

“Baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyatakan bahawa pindaan terhadap perlaksanaan Undi 18 merupakan satu tindakan yang tergesa-gesa dan tidak masuk akal kerana mereka perlu membuat keputusan seawal usia 18 tahun.

“Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab daripada seorang Ahli Dewan Negara yang sewajarnya sedar bahawa pindaan Perkara 119(1) ini merupakan satu keputusan dwipartisan yang mendapat persetujuan serta sokongan daripada 222 Ahli Parlimen pada 16 Julai 2019.

“Anak muda perlu diberikan hak mereka dengan sewajarnya bagi menentukan masa depan negara dalam keadaan mengamalkan kebebasan bersuara dan kemudian diterjemahkan dalam bentuk peti undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 3 November 2020, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan, menjangkakan perlaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah dalam proses melakukan beberapa persiapan untuk pelaksanaan perkara itu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).