Malaysia Dateline

AMK serah memorandum ‘Undur Azam Baki’ kepada SPRM

Konvoi ‘Protes Selamatkan SPRM’ berjalan dengan aman di Dataran Putrajaya dan di hadapan bangunan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dengan disertai kira-kira 50 buah kenderaan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, konvoi kenderaan ke Putrajaya itu bagi menyatakan desakan mereka agar SPRM segera menjalankan siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki.

Beliau menyifatkan dakwaan pemilikan saham oleh Azam Baki merupakan satu darurat integriti yang tidak boleh dipandang ringan.

Konvoi tersebut menyerahkan memorandum berupa 13 patah perkataan yang tertulis ‘UNDUR AZAM BAKI’ di bangunan SPRM hari ini.

“Kita berdepan persimpangan di mana ketua pesuruhjaya SPRM dipertikai soal pembelian saham. Respon perdana menteri yang mengatakan beliau tak boleh campur tangan, seolah-olah tidak nampak kesungguhan dan komitmen beliau membuat satu tindakan lebih tegas,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Akmal mengkritik jawapan balas Ismail Sabri dalam sidang medianya semalam yang mengatakan bahawa kerajaan kekal untuk tidak campur tangan dalam isu Azam Baki.

Jika begitu beliau berkata, seharusnya perdana menteri memindahkan sahaja kuasa lantikan ketua pesuruhjaya SPRM dari kuasa Eksekutif ke bawah kuasa Parlimen.

“KP SPRM yang ada hari ini merupakan lantikan PM, bukan lantikan Parlimen. Jadi kalau nak katakan bahwa eksekutif tak mahu campur tangan, sepatutnya PM pidnahkan kuasa pelantikan KP dari kuasa PM kepada kuasa parlimen.

“PM sebut bahawa isu ini dia taknak masuk campur tangan sedangkan banyak permintaan Ahli Parlimen Majlis Presiden PH mendesak supaya diadakan persidangan khas Parlimen.

“Kita tahu bahawa di bawah peraturan Mesyuarat Parlimen, PM selaku ketua majlis boleh panggil Parlimen pada bila-bila masa masa. Macam mana PM panggil Parlimen (berhubung) isu banjir, PM juga ada kuasa arah Parlimen bersidang serta merta untuk membincangkan isu integriti SPRM,” tambahnya.

Sekitar gambar Konvoi Protes Selamatkan SPRM