Malaysia Dateline

AMK tegur Azmin tak perlu masuk campur urusan Pakatan Harapan

Sayap pemuda PKR menasihatkan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar tidak mencampuri urusan dalaman Pakatan Harapan.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Azmin sebaliknya hanya perlu fikirkan kedudukan beliau sebagai wakil rakyat yang akan bertahan hanya beberapa hari lagi.

Ujarnya, rakyat ketika ini sedang menunggu masa untuk menolak beliau selepas mengkhianati mandat yang diberikan di kawasan Parlimennya.

“Azmin seharusnya mengosongkan kerusi Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa seterusnya memulangkan kerusi ini kepada rakyat.

“Kelihatan parti-parti politik termasuk Umno menyedari yang Azmin telah mengkhianati mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Badli turut mendakwa, semua parti politik tidak akan membuka pintu sewenang-wenangnya buat Azmin dan sekutunya kerana mereka juga berisiko untuk dikhianati.

Sementara Pakatan Harapan pula katanya, sedang memuktamadkan calon Perdana Menteri dengan kaedah musyawarah dan konsensus.

“Tentunya keputusan kali ini lebih mudah untuk dicapai kerana kumpulan yang tamak dan berkhianat telah pon keluar dari Pakatan Harapan,” ujarnya.

Ketika ini PH – Mahathir dan Parti Warisan -yang kini digelar sebagai PH Plus mendakwa memiliki sokongan untuk kembali mengambil alih kerajaan daripada pimpinan Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, PH Plus dikatakan masih buntu untuk mencapai persetujuan mengenai calon Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.