Nama Ammar Alfian menjadi topik perbincangan hangat selepas didakwa sebagai pelakon ‘bertubuh sasa’ yang dilaporkan membelasah kekasihnya, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, Ammar atau nama sebenarnya, Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri tampil menjawab tuduhan dengan menafikan dirinya adalah pelakon terbabit.
Kenyataan dibuat oleh pelakon berusia 37 tahun itu menerusi ruangan komen akaun Instagram Mstar ketika membalas pertanyaan salah seorang pengguna platform.
“Nateh, bukan aku gila,” tulis aktor yang cukup terkenal dengan lakonannya di dalam filem lasak tempatan itu bersama emoji ketawa.
Komen tersebut ditinggalkan sebagai respon kepada pengguna yang memetik nama Ammar dan bertanya adakah dia pelakon yang dimaksudkan dalam laporan tersebut.
“Ammar Alfian ke? Macam sesuai sahaja dengan watak dia,” kata pengguna itu di dalam ruangan komen Mstar berhubung laporan pelakon yang membelasah kekasih.
Dalam pada itu, Ammar turut menyedari bahawa tuduhan tersebut timbul berikutan dirinya sering kali membawa watak antagonis di dalam drama dan filem lakonannya.
Oleh yang demikian, Ammar secara berseloroh meninggalkan komen memohon para penerbit untuk memberikannya karekter berbeza selepas ini termasuk watak ustaz.
“Tahulah muka aku jahat, berlakon pun watak jahat. Selepas ini, penerbit tolong bagi watak ustaz dekat aku. Aku nak babak di dalam masjid, tengah solat dan baca doa sambil menangis di hadapan kamera.” Ulasnya.
Media semalam melaporkan seorang wanita dibelasah kekasihnya yang merupakan pelakon bertubuh sasa di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.
Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun itu kemudian meminta wanita terbabit datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara sekitar pukul 4 pagi.
Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu suspek sebelum pelakon berkenaan memarahi dan menumbuk mata sebelah kiri serta badan kekasihnya.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya, Selangor pada hari yang sama dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, pelakon yang terkenal di dalam filem aksi lasak itu merupakan seorang duda sehingga membuatkan pengguna media sosial menuding jari kepada Ammar.
Baca juga: Gara-gara buat ‘mukbang’ makan ayam goreng dalam kuantiti besar, blogger meninggal dunia