Malaysia Dateline

Ampang dilanda banjir kilat hingga paras pinggang

Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan, di Ampang dilanda banjir kilat hingga paras pinggang selepas hujan lebat sejak jam 6 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.19 malam tadi.

“Seramai 22 pegawai dan anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku banjir kilat hingga paras pinggang (anggaran kira-kira satu meter) susulan hujan lebat.

“Kami difahamkan terdapat lapan mangsa terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, seorang lelaki dewasa dan dua wanita berjaya diselamatkan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor BH.

Keadaan air dilaporkan sudah semakin surut, tambahnya, tetapi kerja menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, beberapa penduduk setempat berkongsikan rakaman video kejadian tersebut di media sosial.

Antara lain dipaparkan banyak kenderaan turut ditenggelami air selain usaha penduduk tempatan menyelamatkan kanak-kanak untuk keluar dari rumah yang dinaiki air.

Ampang dilanda banjir kilat malam ini selepas hujan lebat sejak jam 6 petang tadi.