Malaysia Dateline

AMT Umno bidas Annuar: Kenapa bising lagi, di mana setianya?

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Tan Sri Annuar Musa dan bertanya di manakah kesetiaan beliau kepada parti apabila terus menyerang Presiden secara terbuka.

Beliau mempersoalkan bekas Setiausaha Agung Umno itu sama ada senioriti dan jawatan boleh dijadikan ukuran kepada kesetiaan terhadap parti.

Jika begitu beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga lebih senior dari Annuar Musa.

Namun katanya, kedua-dua pemimpin itu yang akhirnya bertanggungjawab menyebabkan Umno hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Maka apakah senioriti dan jawatan adalah ukuran kesetiaan? Sudah tentu patuh keputusan jamaah adalah ukuran terbaik kepada kesetiaan.

“Kita boleh mengkritik. Tetap apabila parti buat keputusan, kena patuh. Keputusan syura seperti PAU semalam adalah jelas.

“Kenapa bising lagi secara terbuka. Mana setianya?,” soalnya.

Pada semalam, Annuar Musa mengingatkan pengkritiknya agar tidak mempertikaikan kesetiaannya kepada parti itu hanya disebabkan pandangan yang berbeza dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah kata Annuar, dia lebih senior berbanding Zahid dan telah mencurahkan banyak perkara untuk membela Umno.

Beliau turut mengingatkan Ahmad Zahid supaya tidak menyembunyikan perkara tertentu daripada pengetahuan ahli parti.

Ini termasuklah, katanya, sokongan yang diberikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sepucuk surat, yang menurutnya bukan surat palsu.

Sementara itu Mohd Puad berkata, semoga Annuar tidak lupa bahawa ahli Umno di kampung dan akar umbi yang tidak pernah bermimpi menjadi menteri, mereka sentiasa patuh kepada keputusan parti.

“Bukankah mereka itu lebih tulen kesetiaannya? Mereka lebih tulen dari yang bercakap besar, yang melompat parti dan yang jadi parasit dalam parti,” katanya.