Anak Abuya tiba di ‘Bandar Ikhwan’ Batu Hampar, tunjuk lokasi dikurung pengikut GISBH

Oleh MALAYSIADATELINE

Anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyah tiba di perkampungan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) yang dikenali sebagai Bandar Ikhwan, Batu Hampar, Beruas, Manjung, Perak pada pukul 2.38 petang tadi.

Kedatangan Ummu Atiyah ke perkampungan tersebut dipercayai bertujuan untuk menunjukkan lokasi dirinya didakwa dikurung kira-kira dalam tempoh sebulan oleh pengikut GISBH kepada pihak polis.

Wanita berusia 41 tahun terbabit dibawa menaiki sebuah kereta jenis Proton X70 diiringi oleh lima kenderaan lain termasuklah sebuah kereta peronda polis terus memasuki perkampungan tersebut, lapor Kosmo.

Seorang wanita yang memakai baju kebarung kelabu dan berselendang putih dipercayai Ummu Atiyah kemudian keluar dari kereta sebelum menuju ke sebuah kediaman dipercayai premis yang mana dia didakwa dikurung.

Terdahulu, Ummu Atiyah mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan serta dirogol oleh seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa dalam satu sidang media di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain malam tadi mengesahkan bahawa Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye.

Ummu Atiyah kemudian dibawa pulang ke Malaysia dan dikurung di perkampungan GISBH yang terletak di Batu Hampar di mana wanita itu mengaku bebas bergerak dalam kampung selain pernah dibawa keluar dari Bandar Ikhwan untuk beli barang keperluan.

Selain dikurung di dalam sebuah bilik di rumah setingkat kira-kira sebulan, Ummu Atiyah juga tidak diberikan kemudahan untuk menggunakan telefon bimbit oleh empat lelaki yang juga pengikut GISBH.

Menurut Razarudin, Ummu Atiyah menyatakan dirinya sudah beberapa kali cuba untuk melarikan diri kerana tidak tahan dengan perbuatan pengikut GISBH yang mengurung dan memisahkannya dengan anaknya namun ditangkap oleh penghuni lain.

Razarudin turut mengesahkan bahawa mangsa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Taiping, Perak sekitar tahun 2018 dan kini sedang mengambil ubat di Hospital Melaka.

Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan pihak polis kini sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa untuk membantu siasatan.

Sekadar info, antara bentuk penderaan diterima Ummu Atiyah sebelum bersetuju berkahwin dengan pemimpin GISBH adalah dipisahkan dengan anak, pernah dicucuh dengan pemetik api dan direndam di dalam kolam.

Malah adik lelakinya yang juga pengikut pemimpin terbabit tergamak memintanya menanggalkan baju untuk ditunjukkan kepada individu berkenaan dan Ummu Atiyah yang takut akan mati selepas direndam di dalam air lebih sejam itu terpaksa akur dengan arahan mereka.

Baca juga: Anak Abuya dikhianati adik sendiri, dakwa jadi mangsa dera dan rogol pemimpin GISBH