Malaysia Dateline

Anak Adenan Satem bertanding di Tanjong Datu sambung wawasan ayah

Anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan), Azizul Annuar Adenan bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata keputusan itu dibuat kerana penyandang kerusi itu yang juga balu kepada Tok Nan iaitu Datuk Amar Jamilah Anu mahu mengundur diri serta memberikan ruang kepada Azizul.

“Kami di Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sendiri mahu orang muda… adalah wajar kami memberi laluan kepada anaknya untuk meneruskan wawasannya (Allahyarham Adenan Satem).
“Saya rasa beliau (Azizul) sudah bersedia, beliau berbakat, mempunyai latar belakang… saya tak kisah nak bagi tahu, beliau ada karakter, macam bapa dia juga,” dipetik Bernama.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal SarawakCentex Lundu hari ini.

Untuk rekod, Azizul yang merupakan anak bongsu kepada Adenan Satem kini dalam Pergerakan Pemuda PBB.

Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu akan mengesahkan hal tersebut dalam jangka masa terdekat.

“Saya beri bayangan tadi dan saya akan sahkan pada 3 Disember nanti. Selalunya bayang-bayangan akan jadi benar,” katanya lagi.

PRN-12 Sarawak akan berlangsung 18 Disember depan dengan penamaan calon dijadualkan 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu ekoran perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.