Bagi meraikan golongan memerlukan sempena program ‘Kembali Ke Sekolah’, seramai 62 kanak-kanak di sekitar Parlimen Gombak menerima bantuan persekolahan yang
keseluruhannya bernilai hampir RM6,000.
Bantuan disumbangkan oleh ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan persatuan Otai Reformis 1998 itu, bertujuan menghargai perjuangan Otai Reformis dengan 47 daripada penerima tersebut terdiri daripada anak-anak dari pertubuhan tersebut.
Saari berkata, sumbangan itu turut diberi bagi membantu meringankan beban keluarga dari golongan berpendapatan rendah dalam menyediakan kelengkapan menjelang sesi persekolahan 2020.
“Saya hargai usaha mereka yang menganjurkan program hari ini. Otai Reformis sememangnya berjuang membawa suara rakyat dan bertindak sebagai nadi rakyat.
“Bantuan hari ini diberi kepada seramai 47 orang kanak-kanak yang merupakan anak dan cucu pejuang Otai Reformis bagi menghargai perjuangan mereka sejak penubuhannya pada tahun 1998. Manakala 15 lagi merupakan mereka yang susah dan miskin dari golongan B40 di sekitar Dun Gombak Setia.
“Saya berharap bantuan yang disalurkan hari ini, dapat membantu proses pendidikan mereka disamping menjamin keselesaan mereka bersekolah,” katanya dalam program Kembali Ke Sekolah di Dewan Masyarakat Taman Gombak, Selangor.
Sementara itu, Saari mengingatkan agar setiap ADUN di Selangor tidak mengabaikan golongan B40 dan terus fokus menyalurkan sumbangan kepada masyarakat melalui program-program sumbangan barangan persekolahan secara percuma.
Jelasnya, kebajikan rakyat yang menyumbang kepada kejayaan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) perlu diambil kira tanpa mengabaikan waris-waris pejuang yang menaikkan pemimpin hari ini.
“Kita perlu pentingkan kebajikan rakyat. Gunakan peruntukan yang diterima itu dengan sebaik-baiknya.
“Peruntukan bulanan yang diterima ADUN seharusnya disumbangkan pada orang susah, anak miskin, terutamanya anak-anak dan cucu Otai Reformis.
“Jasa mereka terlalu banyak. Kalau tidak ada jasa mereka, sudah tentunya saya tidak ada di sini. Baik ADUN, Menteri Besar, dan juga Exco tidak akan memiliki jawatan masing-masing.
“Kita mahu setiap DUN adakan program sebegini. Saya rasa kalau saya boleh buat, ADUN lain pun boleh buat,” ujarnya lagi.
