Malaysia Dateline

Anak Allahyarham Nik Aziz bertanding atas tiket PH di Perak

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengumumkan enam calon berprofil tinggi dan kemasukan tokoh pelbagai latar belakang dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) hari ini.

Antara calon yang diketengahkan termasuklah anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Omar yang akan bertanding di Perak.

Pengumuman itu dibuat bersama Timbalan Presiden, Rafizi Ramli menerusi satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Sementara itu, Nik Omar dalam majlis pengumuman sebentar tadi berkata, beliau akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan.

Oleh itu, tidak berbangkit isu beliau akan keluar AMANAH dan menyertai PKR.

“Saya bertanding atas tiket Pakatan Harapan, jadi tak berbangkit atas parti mana,” kata Nik Omar.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Nik Omar akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan di Perak bersama-sama beliau yang akan bertanding di Tambun.

Bagaimanapun Anwar belum memaklumkan kerusi mana Nik Omar akan bertanding.

Selain itu, antara tokoh lain yang disebutkan ialah bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha; dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.

Turut dicalonkan, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM), Dr Nur Aisyah Abdul Aziz dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop.

NIk Omar Nik Abdul Aziz

Baca juga: Gugur jantung tengok video kanak-kanak bermain dekat tebing tingkap, netizen bengang ibu bapa cuai