Anak-Amanah sambut baik penubuhan Generasi dilancar PAS

Anak-Amanah sambut baik penubuhan Generasi dilancar PAS

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengalu-alukan kewujudan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) yang dilancarkan semalam di Markas Pas Kerdau, Pahang.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, penubuhan NGO itu dilihat akan merancakkan lagi perjuangan dan pembelaan terhadap rakyat terutamanya lebih 112,000 golongan peneroka.

Menurut beliau, terdapat pelbagai pertubuhan lain sebelum ini bagi membela hak peneroka seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Badan Bertindak Peneroka Felcra Kebangsaan (Bapa) dan Persatuan Belia di peringkat Tanah Rancangan Felda.

“Pelantikan Ustaz Roslan Md Esa sebagai Pengerusi NGO Generasi memang tepat pada masanya kerana beliau sebelum ini adalah salah seorang AJK Anak yang memimpin Unit Pembangunan Insan. Sudah barang tentu pengalaman beliau boleh dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya yang juga Pengerusi Biro Tanah dan Luar Bandar Amanah Nasional itu.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan rakyat sekaligus dapat bersama-sama menangani pelbagai isu ketidakadilan ke atas golongan peneroka antaranya seperti masalah hutang atau kos Tanam Semula, perumahan Generasi kedua dan ketiga, kejatuhan harga komoditi dan isu Kadar Perahan Gred.

“Adalah diharapkan dengan adanya NGO Generasi, isu-isu rakyat termasuk masyarakat Felda dapat ditangani dengan baik dan beroleh hak yang sepatutnya,” tambahnya malam tadi dalam kenyataan beliau di Facebook.

Anak sebelum ini dilihat sebagai entiti Pas aktif dalam siri jelajah ke penempatan Felda terutama sejak tahun 2010 selain memberi tekanan kepada Tan Sri Isa Samad yang dilantik sebagai Pengerusi Felda berkuatkuasa 1 Januari 2011. Anak di bawah kepimpinan Mazlan juga turut menganjurkan Perhimpunan Oren ‘Selamatkan Felda’ dan lantang membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada 2012.

Pelancaran Generasi semalam untuk menangani pelbagai isu ketidakadilan ke atas golongan peneroka seperti masalah hutang, kos tanam semula, perumahan generasi kedua dan ketiga serta kejatuhan harga komoditi dan isu kadar perahan gred. Walau bagaimanapun, beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Pas Pusat pada Jun tahun lalu sekaligus berundur daripada parti tersebut untuk memberi tumpuan kepada Anak.

Sementara itu, pelancaran peringkat kebangsaan NGO Generasi semalam berlangsung di Kompleks Al-Makmur Simpang 4 Kerdau, Pahang dengan disempurnakan perasmiannya oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sumber Pas menyebut Generasi bertujuan untuk memperjuangkan isu-isu yang melingkari sekitar hal ehwal Felda, Felcra, tanah adat dan tanah Orang Asal di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

TAGS