Dua orang anak pelakon, Amyra Rosli iaitu Anaqi dan Aryssa disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) baru-baru ini.
Tular di media sosial, berita itu dikongsikan oleh pelakon yang berusia 32 tahun itu menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
Menerusi hantaran itu, Amyra menasihati agar ibu bapa tidak mengambil ringan sekiranya anak menunjukkan sebarang simptom termasuk demam.
Hal ini kerana walaupun pesakit boleh sembuh, namun HFMD merupakan jenis penyakit yang boleh menular atau senang berjangkit.
Amyra bagaimanapun memaklumkan bahawa dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya sudah pulih daripada penyakit berjangkit itu.
“Anak-anak saya positif HFMD tetapi sudah sihat. Alhamdulillah, terima kasih semua atas doa yang baik-baik buat Anaqi dan Aryssa.
“Kepada ibu bapa di luar sana, sekiranya anak-anak anda tiba-tiba demam jangan ambil remeh ya. Periksa ada tak ruam atau sakit pada mulut.
“Tapi jangan panik kerana penyakit ini selalunya tidak serius namun senang berjangkit. Penyakit ini mudah disebarkan di sekolah,” katanya.
Pelakon drama Nur itu berkata dia memilih untuk memasukkan anaknya ke hospital supaya tahap kesihatan mereka dapat dipantau dengan rapi.
Sering menjangkiti anak berusia lima tahun ke bawah, Amyra memberitahu bahawa penyakit itu biasanya sembuh dalam tempoh tujuh ke 10 hari.
Baca juga: Sekelip mata hilang! Wanita selamba curi rantai emas budak di Jom Heboh depan keluarga