Malaysia Dateline

Anak-anak tahfiz dan musim Covid-19

Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, melintas banyak juga di dinding Facebook termasuk yang WhatsApp peribadi kepada saya, pusat tahfiz yang minta sumbangan. Diberitakan anak-anak tahfiz itu makan telur goreng dengan nasi kosong dan macam-macam lagi.

Lepas itu ramai yang tulis, bantulah anak-anak syurga ini, bakal penyambung dakwah Nabi, pembawa panji-panji Islam dan sebagainya. Di tangan merekalah masa depan Islam dan pelbagai sanjungan dan pujian.

Bantulah mereka, saya tidak ada masalah hal itu. Mereka anak-anak kita. Lapar dan susah mereka adalah lapar dan susah kita. Jika mereka gagal, negara akan turut terbeban.

Dari sudut lain, pandangan umum terhadap maksud penyambung dakwah Nabi, pembawa panji-panji Islam dan masa depan Islam perlu dicerakini. Adakah anak-anak tahfiz sahaja yang termasuk dalam golongan berkenaan?

Saya jarang jumpa orang menulis tentang anaka-anak yang belajar aliran sains tulen misalnya sebagai anak soleh seperti dikatakan kepada anak-anak yang mengaji tahfiz.

Adakah anak-anak yang belajar sains bukan anak yang soleh? Mereka bukan penyambung dakwah Nabi? Bukan pembawa panji-panji Islam? Masa depan Islam bukan di tangan mereka?

Mengapa pemikiran umum, apabila disebut tahfiz, itulah Islam? Apabila disebut dakwah, merujuk kepada tahfiz? Sedangkan, begitu ramai orang yang masuk Islam hasil usaha saintis dan lepasan bukan pengajian tahfiz.

Mustahil saya anti tahfiz, tetapi saya cuma mahu betulkan cara berfikir kita tentang tahfiz dan bidang pengajian yang lain. Tahfiz tidak salah tetapi cara berfikir kita tentang tahfiz perlu dilaras semula.

Ramai beranggapan Islam berada di tangan orang tahfiz, padahal masa depan Islam berada di tangan orang Islam semua sekali tanpa mengira tahfiz atau tidak.

Bahkan, perkembangan Islam turut dibantu oleh orang bukan Islam secara sedar atau tidak. Contoh, dek ada orang kafir yang buat kajian tentang virus, nyawa orang Islam turut terselamat. Bukankah itu jasa mereka juga?

Dengan keadaan serba daif, pusat tahfiz dibuka. Kemudian apabila bermasalah, minta bantuan orang ramai. Nak dapatkan perhatian orang ramai, mulalah mainkan sentimen agama.

Tunjuk gambar anak-anak tahfiz pakai jubah, pakai serban, makan dalam talam lauk telur goreng untuk raih simpati? Apa tujuan sebenar buka pusat tahfiz itu? Nak jual agama untuk habuan diri atau nak lahirkan hafiz?

Apa kata kalau orang ramai misalnya kumpul duit, biayai pelajar cerdik untuk belajar sejarah, bahasa, sastera, teknologi, kejuruteraan, perubatan, adakah ini dianggap membela agama?

Anak-anak itu juga sebenarnya anak-anak yang soleh dan mereka juga pembela agama sekalipun mereka tidak hafal Quran.

Tetapi percayalah, jika ada dua orang pelajar duduk dalam masjid, seorang minta derma untuk belajar tahfiz dan seorang lagi minta derma untuk belajar sastera, saya yakin tong derma pelajar tahfiz akan sendat.

Kerana agama bagi orang kita adalah hafal, bukan faham. Agama adalah simbol bukan intipati. Agama adalah serban bukan pen. Agama adalah perang bukan seni. Itulah agama bagi orang kita.

Nampaknya, jauh lagi perjalanan agama kita untuk diterima oleh masyarakat kita sebagai suatu yang bersifat penghayatan dan kefahaman berbanding hafalan dan sentimen.