Malaysia Dateline

Anak asnaf Kampung Jaie terima bantuan persekolahan awal

Seramai 20 anak-anak asnaf di Kampung Jaie telah menerima bantuan awal persekolahan daripada Parti AMANAH Cawangan Kampung Jaie, Sadong Jaya pada Selasa.

Sumbangan tersebut disampaikan pengerusinya, Was Teng yang turut dihadiri Ketua Awan Kampung Jaie, Saniah Taha.

Dalam ucapannya, Was berkata, dengan bantuan berupa beg dan kasut sekolah itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa daripada golongan asnaf di kampung terbabit.

Katanya, AMANAH Kampung Jaie akan sentiasa peka dalam membantu keluarga yang kurang berkemampuan dalam mempersiapkan anak-anak mereka ke sekolah.

“Untuk makluman, sumbangan ini adalah peribadi daripada Pengerusi AMANAH Sarawak iaitu Abang Halik Abang Naili sendiri yang berusaha untuk membantu anak-anak asnaf di kampung ini mendapat bantuan awal persekolahan.

“Semoga dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan di Kampung Jaie, Sadong Jaya malam tadi.

Mengenai perkembangan parti AMANAH di Kampung Jaie, setakat ini sambutan daripada penduduk dan masyarakat kampung amat menggalakkan.

Jelas beliau, setiap kali program dan aktiviti yang diadakan, ramai penduduk yang hadir dan melibatkan diri serta memberi sokongan.

“Kami kini sedang berusaha mengumpul ahli-ahli baharu di kampung ini bagi proses pendaftaran.

“Justeru, setakat ini jumlah ahli-ahli AMANAH Cawangan Jaie adalah seramai 250 orang semuanya,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap agar proses pendaftaran ahli-ahli dipercepatkan bagi memudahkan lagi penjenamaan parti di peringkat kampung.

Tambah Was, pihaknya turut memberi penerangan kepada penduduk berkaitan bantuan yang disediakan kerajaan khususnya inisiatif MySalam dan PeKaB40, iSuri.

“Sebenarnya, ramai penduduk tidak mengetahui tentang inisiatif ini dengan jelas.

“Oleh demikian, saya serta seluruh gerak kerja AMANAH Kampung Jaie akan berkerja keras untuk turun padang dalam menyampaikan penerangan kepada mereka.

“Di samping itu, kami juga memohon dan berharap agar pimpinan negeri dapat mengadakan program dan aktiviti di sini sekali gus menyantuni penduduk-penduduk Kampung Jaie,” tegasnya.