Malaysia Dateline

Anak autisme khatam al-Quran bersanad

Marina dan anaknya, Umar dalam program tahunan OKU Berdoa 5.0 di USIM baru-baru ini.

Penghidap masalah autisme, Umar Hasfizal, 21, mencipta rekod tersendiri apabila berjaya khatam al-Quran bersanad tahun ini dengan bantuan pengajar di Pusat Tahfiz al- Baghdadi.

Umar didiagnos autisme dan Kurang Penumpuan & Hiperaktiviti (ADHD) sejak ketika berusia dua tahun.

Beliau kemudiannya didaftarkan di pusat pendidikan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) untuk menjalani Program Intervensi Awal.

Ibu Umar, Marina Ariff, 44, kemudian menghantar anaknya ke Pusat Tahfiz Al-Baghdadi untuk mengisi masa terluang sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kami menghantar Umar ke Pusat Tahfiz al-Baghdadi selepas tamat SPM kerana tidak mahu mengganggu waktu persekolahannya dan ingin Umar lebih fokus menghafal.

“Di Pusat Tahfiz Al-Baghdadi, Umar dilatih menggunakan teknik neuro Al-Hafiz untuk memudahkan hafalannya,” kata Marina ketika ditemui dalam program tahunan OKU Berdoa 5.0.

Menurutnya lagi, Umar menghafal lebih daripada 10 juzuk sepanjang mengikuti pengajian di pusat tahfiz itu.

“Walaupun keadaan mentalnya tidak sama seperti seperti kita, hanya dalam tempoh kurang lima tahun, Umar berjaya menamatkan hafalan quran dengan bersanad,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Yayasan Faqeh, Zaharatul Sophia Mohamed Amir Abas, 40, berkata, Umar adalah ikon dalam dunia autisme dan ramai yang memuji kehebatannya.

Walaupun sebenarnya, kata Sophia, ramai tidak menyedari kepayahan seorang ibu disebalik kejayaan seorang anak seperti Umar.

“Marina perlu menempuh banyak kepayahan sepanjang fasa intervensi Umar. Kini, terbukti didikan seorang ibu sangat memainkan peranan dalam membantu menjadikan Umar yang kita dapat lihat hari ini.

“Allah hadirkan anak istimewa seperti Umar ini sebagai ujian untuk seluruh masyarakat melihat bagaimana kita menyantuni mereka.

“Kadangkala ada perkara yang kita anggap remeh, tetapi jangan dilupakan bahawa kehadiran mereka juga menuntut untuk kita membantu mereka melaksanakan hak-hak mereka untuk juga hidup beragama,” ujar Sophia lagi.