ANAK bantu kecemerlangan 371 Sekolah Felda

ANAK bantu kecemerlangan 371 Sekolah Felda
Mazlan Aliman (tiga dari kiri) meraikan pelajar SMK Seri Aman yang menerima Anugerah Jauhar Ulung bersama ibu bapa mereka

Bantuan dan peluang belajar secara holistik di 371 buah sekolah-sekolah dalam tanah rancangan Felda akan diberi perhatian oleh dan dipertingkatkan.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sedang mengumpul data dan maklumat daripada 270 buah sekolah kebangsaan (SK) dan 101 sekolah menengah (SM) mengikut wilayah untuk tindakan selanjutnya. Biro Pendidikan Anak sudah memulkan tugas itu dan sedang menyusun atur beberapa program bertujuan untuk membantu sekolah-sekolah tersebut.

Presidennya Mazlan Aliman, berkata pihaknya akan menilai dan mengkaji semula program-program yang dijalankan sebelum ini termasuk program Tusyen Felda yang sudah dihentikan.

Skim Kecemerlangan Pendidikan Felda (SKPF) yang telah dijalankan boleh diteruskan dan Anak akan mencadangkan beberapa penambah baikkan termasuk menambah insentif-insentif kepada sekolah dan anak-anak peneroka yang cemerlang.

“Felda mempunyai tiga buah Asrama Semai Bakti dan mempunyai 5 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang boleh menempatkan anak-anak atau cucu peneroka belajar. Kami sedang giat mendapatkan informasi berkaitan institusi-institusi ini, sama ada kewujudannya memberi impak kepada warga Felda atau tidak”

“Perjuangan Anak untuk generasi kedua Felda termasuk untuk memastikan pendidikan anak dan cucu peneroka turut mendapat pembelaan sewajarnya. Kita mahu anak-anak yang cemerlang dapat tinggal di Asrama Semai Bakti dan dibantu sehingga menjejak ke menara gading”, katanya.

Peluang untuk anak-anak peneroka yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) untuk ditempatkan di MRSM juga akan kita pantau dan bantu. Sejak tahun 2007, Felda telah menjalin permuafakatan dengan Mara untuk membolehkan pelajar-pelajar kalangan anank peneroka ditempatkan di lima buah MRSM Felda.

Mazlan berkata demikian pada majlis Hari Anugerah Kemenjadian Murid di SMK Seri Aman, Felda Bukit Aping Barat. Hadir sama, wakil rasmi Pegawai Pendidikan Kota Tinggi, Azalai Atan dan Pengetua SMK Seri Aman, Amad Bahri Mardi.

Pada majlis itu, 275 orang murid dan guru menerima sijil penghargaan bagi 16 kategori anugerah atas kejayaan bagi aktiviti tahun kokurikulum dan sahsiah tahun 2018. Anugerah Jauhar Ulung adalah anugerah tertinggi diberikan kepada empat orang pelajar yang mencapai kejayaan sehingga peringkat kebangsaan dan antarabangsa.