Anak baru 14 tahun, netizen terkejut ahli perniagaan bagi elaun hampir RM100k sebulan

Oleh MAISARAH AISYA

Kalau sudah berkemampuan maka tidak salah untuk beri banyak elaun buat anak namun haruslah berpada-pada.

Bimbang anak menjadi terlalu selesa dengan duit dan akhirnya jadi bergantung hidup dengan keluarga.

Menurut portal berita VnExpress, seorang bekas pengacara televisyen China, Li Xiang menarik perhatian ramai kerana amaun diberikan sebagai elaun kepada anaknya.

Xiang yang kini ahli perniagaan itu dikatakan memberi elaun bulanan kira-kira 150,000 yuan (RM99,075) kepada anak perempuannya, Angela Wang Shiling.

Bukan setakat duit elaun, wanita berusia 48 tahun itu turut membeli pakaian jenama mewah untuk anak yang baru berumur 14 tahun.

Dalam pada itu, akhbar The South China Morning Post (SCMP) memaklumkan Xiang membesarkan anak berdasarkan pepatah Cina.

Pepatah itu menyatakan bahawa walaupun anak lelaki harus dibesarkan dalam situasi jimat cermat, namun anak perempuan harus menikmati kekayaan harta benda.

Pada akhir Mac lalu, Xiang memuat naik gambar anak perempuan sedang bercuti. Apa yang menyita perhatian ramai adalah kos pakaian Wang.

Mereka menyatakan bahawa pakaian bercorak kotak ungu anak perempuannya itu berharga 25,337 yuan (RM16,735), blaus putih berharga 13,754 yuan (RM9,084).

Manakala harga skirt 14,478 yuan (RM9,564) dan harga aksesori Wang pula sekitar 39,815 yuan (RM26,303).

Walaupun ramai mengkritik kehidupan mewah yang dinikmati Wang, ramai juga berimpian untuk punya kehidupan senang sepertinya.

Baca juga: Puluhan kampit beras dan sardin hilang sekelip mata, tapak pelupusan sampah sudah ‘clear’?