Anak baru lahir keluar haid? Jangan panik, ini 6 perkara pelik yang akan dialami bayi

Oleh WAN SITI AMINAH

Kedengaran agak mustahil, namun tahukah anda bahawa bayi yang baru lahir sebenarnya boleh mengeluarkan darah haid?

Bukanlah perkara yang luar biasa, keadaan ini rupa-rupanya normal dan sering terjadi kepada bayi jantina perempuan.

Insan yang baru bergelar ibu bapa tidak perlu khuatir dan ini adalah perkara-perkara pelik lain yang akan dialami oleh bayi yang baru dilahirkan.

1. Kesan darah pada lampin

Fenomena pendarahan pada faraj bayi perempuan yang baru lahir hanya akan berlaku di dalam tempoh beberapa hari sahaja.

    Boleh terjadi seawal usia bayi dua atau tiga hari, keadaan ini berpunca daripada perubahan faktor hormon ibu, seperti estrogen dan progesteron. 

    Kesan darah pada lampin juga boleh berlaku pada bayi lelaki yang mempunyai luka pada dubur disebabkan oleh pergerakan usus yang kasar.

    Pendarahan juga boleh terjadi kepada bayi yang baru lepas disunatkan atau anak yang mengalami ruam lampin.

    Bagi kedua situasi ini, ibu bapa perlu menukar lampin dengan sangat berhati-hati supaya bayi anda tidak mengalami pendarahan

    2. Kulit kepala bayi berkerak

    Kulit kepala bayi yang berkerak atau bersisik ini dipanggil Cradle Cap di mana kesan tompok itu terkadang terasa agak berminyak.

    Langsung tidak sakit mahupun gatal, kulit kepala bayi hanya akan kelihatan sedikit kotor. Justeru itu, ibu bapa boleh membotakkan kepala anak.

    3. Timbul tompok putih di muka bayi

    Kebiasaannya, tompokan halus berwarna putih ini akan muncul pada muka terutamanya di sekitar hidung dan mata bayi yang baru lahir.

      Kelihatan seperti kulit yang menggelupas, keadaan ini akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh empat minggu.

      4. Tompok hitam kelihatan seperti lebam

      Kesan yang tampak seperti lebam ini dikenali sebagai Tompok Mongolia yang biasa muncul pada badan bayi yang baru lahir.

      Tidak membawa kesakitan pada bayi, tanda lahir ini akan muncul di sekitar belakang tubuh badan, bahagian punggung dan juga bahu anak.

      5. Badan bayi yang berbulu

      Bulu halus yang tumbuh di tubuh ini berfungsi untuk mengekalkan suhu bayi ketika di dalam rahim sebelum adanya lemak badan.

      Selalunya, bulu tersebut akan gugur dengan sendiri pada minggu terakhir kehamilan atau beberapa minggu selepas bayi lahir.

      6. Najis pertama bayi berwarna hitam

      Berada di tahap kesihatan yang baik, ibu bapa tidak perlu khuatir sekiranya bayi mengeluarkan najis pertama yang berwarna hitam.

      Dikenali sebagai Meconium, najis ini terhasil daripada bahan yang ditelan bayi semasa berada di dalam rahim seperti sel kulit, mukus atau cecair amnion.

      Tular di media sosial, perkara ini dikongsikan oleh seorang ibu oleh seorang pengguna media sosial menerusi akaun Twitter milik @ezzahnor.

      Baca juga: Agong buat kejutan, ajak graduan UITM nyanyi lagu ulang tahun untuk Tunku Azizah