Malaysia Dateline

Anak bekas ketua audit beritahu RCI bapanya mudah lupa

Anak kepada bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ishak Tadin memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urusniaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa bapanya tidak dapat memberi keterangan disebabkan keadaan kesihatannya.

Rizal, yang juga anak kedua Ishak dan saksi terakhir memberitahu tribunal lima anggota itu bahawa bapa yang berusia 85 tahun tidak dapat memberi keterangan kerana mudah lupa ingatan.

Beliau berkata bapanya mula mengalami gangguan kognitif (cognitive impairment) sekitar 2007 dan keadaan itu menyebabkan beliau tidak dapat mengingati banyak peristiwa pada masa-masa lalu.

Ishak menjadi ketua audit negara antara 1986 dan 1994.

Rizal berkata bapanya ingat peristiwa yang berlaku tetapi beliau tidak ingat butir-butirnya.

Rizal memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja itu bahawa adalah untuk demi kepentingan, panel mempertimbangkan alternatif lain.

Saksi itu berkata bapanya menganggap dirinya berusia 70 tahun tetapi beliau sekarang berusia 85 tahun.

Tetapi apabila menceritakan mengenai butiran kerja, sebagai sebahagian daripada gterapi, saya bercerita mengenai kerjanya supaaya beliau dapat mengaitkannya dan memberikan tenaga,” kata beliau.

Ketika ditanya oleh pegawai pengendali Datuk Suhaimi Ibrahim sama ada beliau dapat mengemukakan laporan perubatan kepada suruhanjaya untuk mengesahkan keadaan bapanya, Rizal menjawab beliau dapat berbuat demikian.

Dalam prosiding hari ini, panel RCI diketuai oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan juga menangani beberapa isu yang dibangkitkan oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Haniff meminta Mohd Sidek menarik balik atau membatalkan kenyataan kesimpulannya yang dibuat mengenai kerugian urus niaga mata wang asing berjumlah sekurang-kurangnya RM31.5 bilion antara 1991 dan 1994 pada hari pertama prosiding pada 21 Ogos tahun ini.

Selepas menimbang dengan teliti perkara itu selama kira-kira 20 minit, Mohd Sidek berkata RCI akan membuat kesimpulan muktamad selepas menyimpulkan laporannya.

“Isu kesimpulan tidak timbul. RCI akan memuatkan kesimpulan dalam laporannya,” kata beliau.

Haniff Khatri juga menggesa RCI membuat laporan polis terhadap Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berhubung kenyataan dalam laporan Malaysiakini pada 8 Sept yang memetik Ketua Pengarah Jasa Mohd Puad Zarkashi yang antara lain menuduh bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop cuba melindungi Dr Mahathir berhubung skandal mata wang asing.

Mohd Sidek bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk mengemukakan laporan polis.

“Mungkin ada banyak perkara ditulis di luar terutama dalam era siber ini. saya tidak pernah mendengarnya sebelum ini, isu yang dibangkitkan oleh peguam saya tidak tahu, anggota panel yang lain juga tidak tahu. ia tidak relevan kepada kami,” kata beliau.

 

Mengenai permintaan Haniff Khatri untuk memanggil semula timbalan gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid ke kandang saksi untuk disoal selanjutnya, Mohd Sidek berkata suruhanjaya tidak berhasrat untuk memanggil semula saksi berkenaan.

Terdahulu, pegawai pengendali Datuk Suhaimi Ibrahim memberitahu Suruhanjaya bahawa tiga orang lagi saksi terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis ASP R. Rajagopal dan pegawai Kementerian Kewangan Mohd Shahril Othman dan ketua urus niaga Chua Tiong Chin tidak memberi keterangan.

Suhaimi berkata panel tidak dapat mengesan keberadaan Chua yang bekerja di Singapura dan mereka sedia maklum bahawa beliau sekarang berkhidmat di Hong Kong sambil menambah bahawa mereka telah meminta bantuan Interpol untuk mengesannya tetapi belum ada maklumat.