Malaysia Dateline

Anak bekas pemimpin Libya enggan dihantar pulang ke Libya dari Zimbabwe

Anak angkat pemimpin Libya, Kolonel Muammar Gaddafi sedang berusaha untuk menghalang pihak berkuasa Zimbabwe mengusirnya ke Tripoli, Libya, lapor agensi berita Xinhua pada Selasa.

Menteri Kehakiman, Perundangan dan Hal Ehwal Parlimen Ziyambi Ziyambi memberitahu jawatankuasa Senat mengenai hak asasi manusia pada Isnin, Abhallha Mone Moussa Moummare baru-baru ini enggan turun dari pesawat di Addis Ababa, Ethiopia, di mana beliau sepatutnya meneruskan penerbangan ke Libya.

Ziyambi berkata anak lelaki Gaddafi itu melarikan diri dari Libya selepas bapanya dibunuh pada 2011 dan tiba di Harare pada 2014.

Sejak itu beliau mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar penahanannya di Penjara Chikurubi dan mahu diberi status pelarian atau suaka.

“Terdapat beberapa permohonan di mahkamah yang mencabar penahanannya, kita masih menunggu hasilnya. Pada awalnya identiti beliau tidak dapat dipastikan dan dalam keadaan itu ia bukanlah satu tindakan bijak untuk memberikan status itu tanpa kenal pasti siapa sebenarnya beliau.

“Jadi, dia diusir tetapi enggan ke Libya kerana lebih selesa di sini. Sebaik tiba di Addis (Ababa) untuk ke Libya, beliau enggan turun dari pesawat,” katanya.

Jawatankuasa yang diketuai Oliver Chidawu dari parti ZANU-PF itu turut prihatin terhadap keadaan hidup tahanan, termasuk makanan diet sayuran tanpa daging selama beberapa hari.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pelarian ditempatkan bersama dengan banduan lain.

— BERNAMA