Malaysia Dateline

Anak buah Saifuddin kena paksa ‘like’, ‘follow’ media sosial menteri, timbalan?

Semua kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan jabatan serta agensi di bawahnya diarahkan untuk like dan follow akaun media sosial utama kementerian termasuk milik menteri dan timbalan menteri.

Arahan yang dilihat ‘tidak masuk akal’ itu terkandung dalam tangkap layar membabitkan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang tular di media sosial.

Menerusi tangkap layar itu yang dikongsikan pembaca kepada Malaysia Dateline mendapati arahan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT) KKMM Bil. 8/2021.

Selain Finas, terdapat sembilan lagi jabatan dan agensi di bawah KKMM yang kini disandang menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga bekas pemimpin PKR sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Semua kakitangan KKMM juga perlu ‘like’ dan ‘follow’ tiga akaun media sosial iaitu Facebook, Twitter dan Instagram milik Timbalan Menteri, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Parlimen Padang Besar dari Umno.

Bahkan, staf KKMM juga perlu berbuat langkah sama terhadap akaun media sosial Ketua Setiausaha, Datuk Sri Mohammad Mentek.

Dalam masa sama, staf Finas diarahkan untuk mengikuti empat akaun media sosial rasmi agensi tersebut iaitu Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube bagi memastikan penyampaian berkaitan pelaksanaan dasar, program, aktiviti dan kegiatan rasmi kementerian dapat disebarluas kepada orang ramai.

Tangkap layar arahan itu juga meminta semua Pengarah Bahagian dan Unit untuk memantau dan memastikan setiap kakitangan telah berbuat demikian dengan mengisi Borang Pemantauan Aktiviti Media Sosial sebagai bukti pelaksanaan pemantauan.

Untuk rekod, terdapat empat jabatan di bawah KKMM iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan, Jabatan Perlindungan Data Peribadi serta Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak.

Selain Finas, lima lagi agensi milik KKMM ialah Berita Nasional Malaysia (Bernama), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Cyber Security Malaysia (CSM).