Anak buntu cari cara tegur ibu, suka berkemban walau duduk sekali dengan menantu

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita terperangkap dalam dilema sebaik sahaja menamatkan zaman bujang gara-gara sikap ibunya yang selamba berkemban dalam rumah tanpa menghiraukan kehadiran orang lain.

Menerusi satu perkongsian, wanita itu mengakui bahawa perkara tersebut bukan satu masalah sebelum ini kerana kediaman berkenaan hanyalah didiami oleh ahli keluarga mereka sahaja

Namun sayangnya, sikap ibunya itu masih tidak berubah selepas suami yang baru dikahwininya turut berpindah masuk ke rumah sama hingga menimbulkan situasi tidak selesa.

Difahamkan, pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga itu terpaksa menumpang dahulu di rumah berkenaan secara sementara ekoran kediaman dibeli oleh mereka belum siap.

“Dalam keluarga kami, ibu saya ini memang jenis selalu memakai singlet dan berkemban di dalam rumah. Selama ini kami sebagai keluarga tiada masalah. Tetapi saya baru sahaja berkahwin.

“Kemudian saya dan suami buat keputusan untuk tinggal di rumah ibu bapa saya dahulu sementara menunggu rumah kami siap. Tetapi ibu saya masih pakai macam itu. Dengan singlet tanpa baju dalam,” katanya.

Menurut sang anak, sikap ibunya itu telah menimbulkan perasaan malu dan tentunya kurang selesa dalam dirinya sekiranya pemandangan tidak sopan tersebut dilihat oleh suaminya.

Perkongsian tersebut dibuat oleh wanita terbabit tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

“Sebagai anak, saya rasa malu. Malu dan risau kalau suami saya nampak. Mak saya 100 peratus normal sahaja. Cuma dari segi pemakaian di rumah itu agak menjolok matalah. Nak tegur nanti merajuk pula. Cepatlah rumah siap,” kongsinya.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi pendapat bahawa mereka tidak bersetuju dengan keputusan wanita berkenaan tinggal bersama ibu bapanya.

Wanita itu disarankan untuk berpindah segera daripada kediaman tersebut dan mencari rumah sewa yang murah sekiranya masih tidak mampu menganggung komitmen bulanan tinggi.

Baca juga: Bunuh dan simpan mayat ibu dalam peti sejuk beku, jiran akui terkejut, ingatkan mangsa dah pindah masa PKP